MENTERI Perdagangan Dalam Negeri Koperasi Dan Kepenggunaan,Datuk Seri Hamzah Zainudin (tengah) menyampaikan anak benih musang king kepada penduduk Batu Kurau. FOTO NOR RAIDAH AWANG
Nor Raidah Awang

cnews.nstp.com.my

JENAMA durian Batu Kurau yang mempunyai gred terbaik bakal didaftarkan di bawah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO).

Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, ia akan membolehkan buah durian berkenaan untuk dikomersialkan, selain kawasan penanamannya diperluaskan.

Menurutnya, kawasan Batu Kurau juga berpontensi menjadi pusat pengeluaran terbesar durian terbaik di negara ini.

“Tidak dinafikan Batu Kurau adalah kawasan terkenal dengan keenakan buah duriannya.

“Malah saya sendiri sudah makan banyak buah durian di Batu Kurau, dan memang ada jenis durian di sini yang rasanya lebih sedap daripada jenis Musang King,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Majlis Penyerahan Anak Pokok Musang King di Arena Batu Kurau, hari ini.

Hamzah berharap penduduk kampung di kawasan itu dapat memberi kerjasama bagi mencari benih durian yang terbaik dan istimewa untuk ditanam untuk merealisasikan hasrat terbabit.

“Sebagai permulaan pada hari ini, kita berikan sebanyak 2,000 anak pokok durian Musang King kepada hampir 1,000 penduduk di Batu Kurau.

“Ini adalah kali pertama dan kita akan pastikan Batu Kurau menjadi lokasi yang sentiasa diingati seluruh rakyat Malaysia berikutan memiliki buah durian yang sedap dan terkenal,” katanya.

Katanya, dalam tempoh lima tahun akan datang, kawasan Batu Kurau bakal mempunyai banyak pokok durian Musang King.

“Difahamkan juga satu pokok boleh menghasilkan antara 100 biji buah setiap musim.

“Jadi tidak mustahil petani mampu menghasilkan kira-kira 200,000 biji buah durian selepas ini,” katanya.

Katanya, harga jualan yang tinggi membolehkan petani menjana pendapatan lumayan apabila tiba musim durian.

“Inilah yang kita harapkan, penduduk mendapat manfaat sekali gus pendapatan mereka dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 4:31 PM