ABDUL Hadi Awang
Azura Abas dan Irwan Shafrizan Ismail dan Zanariah Abd Mutalib
cnews@nstp.com.my

Putrajaya: “Kita akan guna satu logo sahaja termasuk di Sabah dan Sarawak. Bukan macam satu lagi ‘kem’ di sini kuku lain, sana kuku lain. Kita tidak akan bercakaran, kita tidak ada kuku (bercakaran),” ujar Pengerusi GAGASAN, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berhubung pembahagian kerusi antara PAS, Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN), Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA).

Menurutnya, GAGASAN diterajui PAS akan bertanding 160 kerusi Parlimen pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) dan pengagihan kerusi berjalan lancar.

Beliau menegaskan tidak akan berlaku percakaran dalam penentuan calon dan pembahagian kerusi pakatan itu berbanding Pakatan Harapan yang masih bercakaran berhubung ipenggunaan logo PKR serta belum menyelesaikan pembahagian kerusi sehingga kini.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, parti mesra PAS, antaranya Parti Cinta Malaysia (PCM) dan Parti Generasi Baru (PGB) pula akan menggunakan simbol masing-masing.

“Bagaimanapun, kami akan memastikan tiada pertembungan antara calon kami (di mana-mana kerusi),” katanya pada sidang selepas Majlis Pelancaran Dokumen Malaysia Sejahtera di sini, malam kelmarin.

Yang turut hadir, Presiden IKATAN, Tan Sri Abdul Khadir Sheikh Fadzir dan Presiden BERJASA, Abd Kadir Mamat.

Beliau yang juga Presiden PAS berkata, pihaknya akan meletakkan calon PAS untuk kerusi Parlimen Langkawi.

“Kita menghormati keputusan Abdul Kadir yang tidak bersedia untuk bertanding dalam PRU14,” katanya.

Sebelum ini, PAS menamakan Abdul Kadir untuk kerusi Parlimen Langkawi namun ditolak oleh Abdul Kadir.

Selain itu, Abdul Hadi memaklumkan GAGASAN menyasarkan untuk memenangi sekurang-kurangnya 112 kerusi Parlimen pada PRU14 bagi memenangi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan.

“PAS mewujudkan GAGASAN kerana berdasarkan pengalaman kerjasama politik sebelum ini bersama PKR dan DAP.

Ini membuka ruang kepada kami mewujudkan gabungan ini yang mengamalkan amalan politik matang dan sejahtera.

Terdahulu, dokumen Malaysia Sejahtera dibentangkan Timbalan Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man yang mengandungi Manifesto Malaysia Sejahtera, dokumen Budaya Politik Matang dan Sejahtera (BPMS), Wawasan Induk Negara Sejahtera (WINS2051) dan Dokumen Hijau.

Tuan Ibrahim turut membentangkan Manifesto Malaysia Sejahtera peringkat kedua yang menggariskan 84 tawaran kepada 12 kelompok masyarakat iaitu wanita, orang kurang upaya (OKU), anak muda; petani, penternak dan nelayan; peneroka FELDA, penjawat awam, pekerja swasta, warga emas dan pesara, orang asal, usahawan, korporat dan prihatin alam sekitar.

Antara tawaran berkenaan termasuk memperkenalkan cuti khas untuk menjaga ibu bapa yang sakit kronik dan kemudahan cuti bersalin tiga bulan tanpa had bilangan anak kepada penjawat awam, penyeragaman elaun kepada OKU sebanyak RM600 sebulan dan pelupusan hutang Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan pewujudan Endowment Pendidikan untuk anak muda.

Pada bulan lalu, GAGASAN melancarkan Manifesto Malaysia Sejahtera peringkat pertama yang menawarkan 20 perkara utama bagi menghadapi PRU-14.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 25 April 2018 @ 3:12 AM