ORANG ramai menggunakan kaedah e-filing bagi mengisi borang cukai pendapatan individu. FOTO arkib NSTP
Siti A'isyah Sukaimi
sitiaisyah@nstp.com.my


LEMBAGA Hasil Dalam Negeri (LHDN) melanjutkan tempoh sehingga 15 Mei untuk pembayar cukai individu yang tidak mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan bagi mengemukakan borang BE atau M (tahun taksiran 2017) mereka secara e-Filing.

Pembayar cukai yang mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan pula diberikan tambahan masa sehingga 15 Julai untuk mengemukakan Borang B atau M (tahun taksiran 2017) secara e-Filing.

Bagaimanapun, menurut kenyataan LHDN, lanjutan tempoh itu tidak terpakai untuk kemukakan Borang Nyata Cukai Pendapatan (BNCP) secara manual menggunakan borang biasa dengan tarikh akhir kekal pada 30 April bagi individu tidak mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan atau 30 Jun bagi individu mempunyai pendapatan daripada punca perniagaan.

Sehingga semalam, LHDN sudah menerima 1.7499 juta BNCP daripada pembayar cukai individu melalui kaedah e-Filing setakat 9 pagi.

Katanya, angka berkenaan menunjukkan peningkatan sekitar 5.52 peratus berbanding penerimaan BNCP melalui kaedah e-Filing daripada pembayar cukai individu bagi tempoh sama tahun lalu iaitu sebanyak 1.6583 juta.

“Justeru, LHDN menyeru pembayar cukai supaya menggunakan kemudahan disediakan ini dan memastikan BNCP dikemukakan dalam tempoh yang sudah ditetapkan bagi mengelak penalti lewat hantar borang cukai dikenakan,” katanya.

Selain itu, LHDN akan membuka kaunter perkhidmatan e-Filing di semua cawangannya pada 27 hingga 29 April bagi membantu pembayar cukai individu yang tidak mempunyai kemudahan Internet untuk mengisytiharkan pendapatan dan menghantar BNCP menggunakan e-Filing.

“Bagi memudahkan urusan pembayaran cukai, kaunter bayaran cukai LHDN di Pusat Bayaran Kuala Lumpur, Kota Kinabalu, Sabah dan Kuching, Sarawak juga akan dibuka pada 27 hingga 29 April bermula 9 pagi hingga 5 petang di Semenanjung manakala jam 8 pagi hingga 4 petang di Sabah dan Sarawak,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 8:57 PM