ANTARA barangan dirampas daripada suspek.
Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my

Kuala Lumpur: Buat kerja sambilan dengan menjual ganja mampat. Itu kegiatan seorang penjawat awam yang ditahan polis selepas didapati memiliki ganja seberat lebih 1.6 kilogram (kg).

Suspek ditahan bersama dadah dianggarkan bernilai RM3,500 di kediamannya di Projek Perumahan Awam Desa Rejang, di sini, jam 8.30 malam kelmarin.

Lelaki berusia 28 tahun itu ditahan di kawasan letak kereta pangsapuri berkenaan.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Mohamad Roy Suhaimi Sarif berkata, sepasukan anggota polis menyerbu rumah suspek terdahulu sebelum itu.

“Ketika serbuan, rumah suspek tidak berpenghuni. Anggota polis memotong kunci mangga pintu dan memasuki rumah berkenaan.

“Hasil pemeriksaan di kediaman suspek, polis menemui lima ketulan mampat ganja bersama beberapa peralatan dipercayai digunakan untuk membungkus dadah seperti peket plastik kecil, gunting dan pisau di lantai ruang tamu.

“Turut ditemui alat dipercayai digunakan menghisap ganja selain kad kerja milik suspek yang bertugas di sebuah kementerian,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 24 April 2018 @ 4:11 AM