KUKU harimau yang dirampas pegawai Perhilitan dari lelaki warga Indonesia di pelabuhan Port Dickson Jumaat lalu. FOTO/PDRM
Mohd Jamilul Anbia Md Denin dan Fazrik Kamarudin
cnews@nstp.com.my


RAMAI yang mengidam mahu memiliki kuku harimau asli berikutan kepercayaan karut kononnya ia boleh menjadikan si pemakai dihormati ramai, berkarisma dan tampak berwibawa.

Malah, ada yang sanggup membayar ribuan ringgit bagi mendapatkan kuku harimau yang dijadikan sebagai tangkal kebal atau loket azimat.

Permintaan di pasaran gelap terhadap kuku harimau menyebabkan segelintir pemburu haram dan warga asing berusaha menyeludup masuk kuku haiwan liar dilindungi itu ke negara ini.

Terbaru, seorang lelaki warga Indonesia diberkas pegawai Unit Penguatkuasaan, Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) Negeri Sembilan selepas dikesan cuba menyeludup sejumlah kuku harimau melalui jeti penumpang Port Dickson, Negeri Sembilan.

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, suspek berusia 40-an itu ditahan dalam operasi jam 5.25 petang Jumaat lalu, dan pegawainya merampas sebanyak 16 unit disyaki kuku harimau.

“Suspek didakwa baru tiba ke negara ini selepas menaiki feri dari Dumai, Indonesia. Suspek gagal menunjukkan sebarang dokumen sah berkaitan kuku harimau dimiliki. Dia kemudian ditahan dan kesemua barang kes disita,” katanya.

Menurutnya, lelaki itu dibawa ke Pejabat Jabatan PERHILITAN Negeri Sembilan untuk siasatan lanjut

“Kes disiasat mengikut Seksyen 68 (2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) iaitu mengambil atau menyimpan mana-mana bahagian atau terbitan hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya tanpa suatu permit khas.


ANTARA kuku harimau yang dirampas. FOTO/PDRM

“Jika sabit kesalahan, mereka boleh didenda tidak kurang RM100,000 dan tidak lebih RM500,000 dan penjara tidak lebih lima tahun,” katanya.

Ini kejayaan terbaru selepas PERHILITAN sebelum ini pernah mematahkan cubaan menyeludup pelbagai jenis hidupan liar bernilai RM1 juta menerusi dua serbuan di Sungai Siput, Perak dan Kota Bharu, Kelantan.

PERHILITAN berjaya merampas 188 kuku beruang matahari, 21 taring beruang jenis sama, 17 kuku harimau belang, lapan taring harimau, satu tanduk rusa dan beberapa taring dan kuku hidupan liar lain.

Kadir turut mengalu-alukan sokongan masyarakat dengan menjadi mata dan telinga kepada Jabatan PERHILITAN dengan membantu menyalurkan maklumat dalam usaha menjaga khazanah negara supaya tidak diancam kepupusan.

Maklumat boleh disalurkan melalui PERHILITAN Hotline 1-800-88-5151 (Isnin - Ahad dari jam 8 pagi sehingga 6 petang) atau e-aduan melalui laman web Jabatan PERHILITAN iaitu www.wildlife.gov.my.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 9:36 PM