MANGSA parah akibat ditetak dalam pergaduhan sekumpulan lelaki di Kampung Raja, Sungai Petani, malam tadi. FOTO ihsan polis
Omar Osman
cnews@nstp.com.my


LELAKI berusia 25 tahun parah selepas ditetak dalam satu pergaduhan sekumpulan lelaki ketika mereka dalam keadaan mabuk, di Kampung Raja, Sungai Petani, malam tadi.

Kejadian 11.10 malam itu tercetus apabila kumpulan lelaki itu berselisih faham selepas mereka mabuk akibat meminum arak.

Sumber berkata, akibat pertengkaran mulut itu, salah seorang daripada mereka mengetuk kepala rakannya dengan botol arak.

Menurutnya, akibatnya salah seorang daripada mereka yang tidak berpuas hati pulang ke rumah dan mengambil parang.

“Suspek menetak lelaki itu menyebabkan rakan mereka lari bertempiaran.

“Lelaki yang parah di tangan serta kaki itu kemudian dikejarkan ke Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) selepas orang awam yang melalui kawasan itu menghubungi ambulans.

“Polis menemui sebilah parang dan siasatan menunjukkan kejadian itu berpunca daripada pertengkaran sekumpulan lelaki mabuk,” katanya.

Beliau berkata, setakat ini, polis sudah menahan enam lelaki bagi membantu siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 5:36 PM