Mohd Hafizee Mohd Arop
hafizee@nstp.com.my


PASANGAN kekasih didakwa di Mahkamah Majistret Gerik, hari ini atas pertuduhan membunuh seorang lelaki pada 7 April lalu.

Tertuduh Nurul Haslina Abu Hassan, 38, dan Zulasri Shaarani, 42, didakwa membunuh Kamarulzaman Safri, 38, di kawasan Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Lebuhraya Gerik-Kupang, di sini, 7 April lalu.

Kedua-dua tertuduh mengangguk tanda faham ketika pertuduhan dibacakan secara bersama terhadap mereka di hadapan Majistret Raja Shahril Anuar Raja Baniamin.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kedua-dua tertuduh yang didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Azfar Mahmod dan Nurul Haslina diwakili peguam Datuk Naran Singh, manakala Zulasri tidak diwakili peguam.

Muhammad Azfar kemudiannya memohon mahkamah menetapkan tarikh baru untuk kes disebut semula bagi membolehkan laporan kimia, Asid Deosiribonukleik (DNA) dan balistik diperoleh.

Raja Shahril Anuar kemudiannya menetapkan 24 Mei ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

NSTP pada 7 April lalu melaporkan, mayat Kamarulzaman ditemui dengan tiga kesan tembakan di kepala, dada dan perut dalam keadaan lengkap berpakaian.

Hasil pemeriksaan polis di lokasi kejadian menemui tiga kelongsong dan sebuah motosikal berkuasa tinggi jenis Kawasaki berhampiran mayat mangsa.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman dalam sidang medianya 16 April lalu berkata, pembunuhan itu dipercayai bermotifkan cemburu.

Katanya, motif pembunuhan itu diketahui selepas polis berjaya menahan dua lelaki dan seorang wanita yang juga bekas isteri kepada mangsa di sekitar daerah itu pada Selasa lalu.

Menurutnya, suspek lelaki dan wanita yang ditahan itu adalah pasangan kekasih dan dipercayai terbabit dalam pembunuhan itu, manakala seorang lagi suspek ditahan hanya untuk membantu siasatan.

Yahya berkata, polis turut berjaya merampas pistol jenis ‘˜Colts Convenent’ dari rumah suspek lelaki yang dipercayai diperoleh dari negara jiran dan turut menemui 35 butir peluru yang masih disimpan.

Berita berkaitan

Tergamak kau sayang... [METROTV]

Kesan tembakan pada mayat lelaki

[UPDATE] Maut ditembak tiga das

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 23 April 2018 @ 1:40 PM
Nurul Haslina Abu Hassan 38, didakwa atas tuduhan membunuh Kamarulzaman Safri di kawasan Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Lebuhraya Gerik-Kupang, 7 April lalu. FOTO/VIDEO/MUHAIZAN YAHYA