Anggota bomba mengangkat mayat mangsa. FOTO Noor Hidayah Tanzizi
Noor Hidayah Tanzizi
cnews@nstp.com.my


MAYAT seorang lelaki warga emas yang hilang dua minggu lalu ketika menjerat binatang di hutan berhampiran Teluk Rubiah, Seri Manjung, di Manjung, ditemui hari ini.

Mayat Ho Tong Chim, 89, dari Kampung Dato’ Seri Kamaruddin (KDSK) di sini ditemui di denai sungai bersebelahan tapak kuari di Jalan Teluk Rubiah oleh orang awam.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Abdul Hazhar Ismail berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung penemuan itu pada jam 11.58 pagi sebelum lapan anggota bersama jentera ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa ditemui pada jarak 1.5 kilometer dari motosikalnya ditemui di hadapan jalan masuk ke kawasan hutan berkenaan.

“Bomba tiba di lokasi pada jam 12.20 tengah hari dan membawa mayat keluar sebelum menyerahkannya kepada polis. Operasi tamat sepenuhnya jam 1.51 tengah hari,” katanya ketika ditemui, hari ini.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung, Shuib Idris pula berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan pasukan keselamatan selama tujuh hari sebaik menerima laporan kehilangan mangsa.

“Operasi kemudian dihentikan selama dua hari kerana tiada petunjuk baharu namun disambung semula atas permintaan keluarga mangsa sehingga mangsa ditemui hari ini,” katanya.

Dalam pada itu, ahli keluarga mangsa yang ditemui menzahirkan rasa lega apabila tanda tanya kehilangannya selama 14 hari kini terjawab.

Harian Metro pada 12 April lalu melaporkan dalam kejadian pada 8 April lalu, Ho yang mempunyai penyakit batu karang dan masalah pendengaran selain mudah lupa dikatakan keluar rumah pada jam 2.30 petang untuk ke hutan dengan menunggang motosikal.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 6:00 PM