Ahmad Suhael Adnan
ahmad.suhael@nstp.com.my

SEMUA 16 ahli UMNO yang memfailkan semakan kehakiman bagi membubarkan parti itu di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam, adalah pembelot dan sudah lama menjadi aktivis pembangkang.

Ketua Penerangan UMNO, Tan Sri Annuar Musa berkata, semua mereka sudah lama dianggap sebagai bukan lagi ahli parti secara prinsip kerana membelot.

Sehubungan itu, katanya, tindakan mereka memfailkan semakan kehakiman memudahkan parti untuk bertindak memecat mereka, sekali gus membersihkan parti daripada segala gunting dalam lipatan.

“Pemecatan ini bererti mereka tidak lagi mempunyai wibawa dan locus standi untuk mencampuri urusan UMNO.

“Proses ini akan membersihkan parti daripada segala gunting dalam lipatan, sekali gus menjadikan parti bertambah kuat.

“Sebagai parti yang besar dan berwibawa, UMNO mestilah hanya dianggotai oleh ahli yang setia, jujur dan komited.

“Mana-mana ahli yang gagal membuktikan kesetiaan pada parti, termasuk mensabotaj parti dengan apa jua tindakan, mesti dihadapkan dengan tindakan paling tegas mengikut peraturan sedia ada,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Semalam, 16 ahli UMNO memfailkan semakan kehakiman bagi memohon parti itu dibubarkan atas dakwaan gagal mengadakan pemilihan sejak 2013, selain mendakwa kelulusan Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) untuk penangguhan pemilihan UMNO ke tahun depan melanggar perlembagaan parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor, dilaporkan berkata, semua mereka dipecat berkuat kuasa hari ini, selaras Fasal 20.7 perlembagaan UMNO iaitu mana-mana ahli yang memfailkan permohonan atau tindakan ke mahkamah akan hilang keahlian secara automatik.

Pada 5 Mac lalu, ROS dalam kenyataan mengesahkan permohonan UMNO menangguhkan pemilihan peringkat Majlis Tertinggi untuk 2017 diluluskan, selaras peruntukan perlembagaan pertubuhan Fasal 10.17.

Sementara itu, Naib Ketua UMNO Bahagian Selayang yang juga pengamal undang-undang, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, dakwaan UMNO parti haram atau terbatal pendaftaran secara automatik, adalah dangkal kerana ia dibuat tanpa merujuk Akta Pertubuhan 1966.

Katanya, tiada sebarang peruntukan dalam akta itu yang membolehkan parti atau pertubuhan menjadi tidak sah atau terbatal pendaftaran secara automatik kerana tidak mengadakan mesyuarat agung atau pemilihan jawatan.

Berbeza dengan situasi dialami DAP sebelum ini, katanya, kemelut parti itu tercetus kerana ahlinya mengemukakan aduan mengenai kesahtarafan mesyuarat agung serta pemegang jawatan yang dipilih dalam proses yang didakwa tidak sah.

Malah, katanya, DAP kekal sah sebagai parti politik dan pendaftarannya tidak terbatal secara automatik sepanjang pertikaian dirungkai.

“Ahli UMNO, pendokong dan penyokong parti serta pengundi tidak perlu gusar kerana UMNO kekal dan sebagai parti yang sah dan layak untuk menyertai Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14),” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 22 April 2018 @ 12:09 AM