KEADAAN feri pengangkut yang ditarik ke tebing sungai selepas terbalik di Sungai Pandan. FOTO Erika George
Erika George
news@nstp.com.my


SEORANG dikhuatiri lemas, manakala tujuh terselamat selepas feri pengangkut barang terbalik lalu karam di Sungai Pandan, Bintulu, 12.30 malam tadi.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Bintulu, Mohamad Meramit berkata, mangsa yang masih hilang dikenali sebagai Mohd Dzulhiqmi Delphen, 23, berasal dari Kampung Burung, Jalan Bakawali, Lahad Datu.

"Ketika kejadian, feri terbabit yang turut membawa empat lori yang sarat dengan muatan sawit itu, dikatakan baru sahaja berlepas dari pengkalan feri Ladang Sungai Pandan menuju ke Jeti Sungai Pandan, dan karam lalu terbalik sebelum sampai ke seberang," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Difahamkan, kesemua lori yang sarat dengan muatan sawit itu turut tenggelam ke dasar Sungai Pandan.

Katanya, tujuh penumpang yang berada dalam feriberkenaan menyelamatkan diri dengan berenang ke tebing sungai.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) kini bertumpu kepada gerakan mencari mangsa di kawasan radius 30 hingga 50 meter dari lokasi feri berkenaan karam.

"Usaha pencarian yang bermula dari awal pagi tadi telah menggunakan teknik pencarian di kawasan permukaan sungai," katanya.

Beliau menambah, siasatan terperinci akan dijalankan bagi mengetahui punca sebenar yang menyebabkan feri berkenaan karam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 21 April 2018 @ 12:31 PM