Radhi (kanan) dan Mahfuz
Petah Wazzan Iskandar dan Muhaamad Hafis Nawawi
cnews@nstp.com.my

LAGENDA bola sepak Kedah, Radhi Mat Din menyifatkan dirinya sebagai ‘underdog’ dalam pertembungan tiga penjuru di kerusi Parlimen Pokok Sena.

Bekas kapten pasukan Kedah pada era kegemilangan pasukan ‘Hijau Kuning’ di tahun 90an itu, mengakui dia sebagai calon bukan pilihan menentang penyandang kerusi itu Datuk Mahfuz Omar dan calon dari Barisan Nasional (BN) yang masih belum diumumkan.

Bagaimanapun, calon PAS itu yakin mampu memberi cabaran sengit dengan sokongan daripada akar umbi parti itu berdepan dengan Mahfuz, yang juga Naib Presiden Parti Amanah Negara (PAN).

Radhi, 53, berkata, walaupun Mahfuz lebih popular di peringkat kebangsaan selama bersama PAS sebelum melompat ke PAN awal tahun ini, beliau yakin akar umbi akan memilih calon yang dekat dengan mereka.

“Saya bukan menghina bekas ‘bos’ saya tetapi ini realiti bahawa sepanjang beberapa bulan, Mahfuz tidak memberi sumbangan kerana mengambil cuti panjang.

“Kami di peringkat kawasan dan akar umbi reda jika Mahfuz cuti panjang tetapi apabila beliau menggunakan cuti terbabit untuk aktif di PAN maka ia salah dan tidak boleh diterima.

“Bagi kami, adanya beliau tidak menambah, tiada pun tidak mengurang. Bayangkan jika anak dan ayah bergaduh, sudah pastinya anak terbabit tidak akan menghina bapanya di luar tetapi jika dilakukan maka layak dipanggil anak derhaka,” katanya.

Dalam pada itu, Radhi akan menggunakan pendekatan berhemah dalam berkempen dan menjauhi sebarang serangan peribadi apatah lagi menggunakan kata-kata kesat.

Katanya, pendekatan yang memaki hamun tidak boleh diguna pakai kerana prinsip PAS adalah berpolitik secara matang dalam membina masyarakat yang harmoni.

“Kita tidak boleh memaki hamun dan menuduh pihak lawan dengan macam-macam tuduhan.

“Jika dihina, dituduh atau difitnah, kita tidak boleh ikut jejak yang sama maka kita kena lawan dengan cara yang bijaksana dan berilmu,” katanya yang ditemui selepas majlis pengumuman calon PAS Kedah di Kota Sarang Semut di Alor Setar malam tadi.

NSTP sebelum ini melaporkan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengumumkan Radhi, sebagai calon PAS bagi Parlimen Pokok Sena pada PRU-14.

Radhi antara dua muka baharu yang diumumkan pada program ceramah Gelombang Hijau Kedah PRU-14 di Markas PAS Cawangan Alor Ibus baru-baru ini.

Seorang lagi muka baharu, ahli farmasi, Muhamad Riduan Mohd Othman, 43, diumumkan sebagai calon Parlimen Kuala Kedah.

PAS turut mengumumkan Pesuruhjaya PAS Kedah, Dr Ahmad Fakhruddin Fakhrurrazi sebagai calon Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kundur.

Sebelum ini, Presiden PAN, Mohamad Sabu mengumumkan Mahfuz akan mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena yang dijangka akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru antara PAN sendiri, Barisan Nasional (BN) dan PAS iaitu parti yang diwakilinya pada PRU lima tahun lalu.

Pencalonan Mahfuz diumumkan pada majlis pengumuman calon parti itu di Kedah membabitkan tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Terap, Pokok Sena dan Sik selain 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini.

Mahfuz mula menjadi Ahli Parlimen Pokok Sena pada 1999 sebelum kalah dengan calon BN, Datuk Abdul Rahman Ibrahim pada 2004 namun mengambil semula kerusi itu pada 2008 dan 2013.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 9:56 PM