ANGGOTA bomba berusaha memadamkan api dalam kebakaran di Kampung Melayu Sri Kundang, Rawang, hari ini. FOTO ihsan bomba
Nurul Hidayah Bahaudin
cnews@nstp.com.my


SUAMI isteri warga emas nyaris maut selepas rumah mereka di Kampung Melayu Sri Kundang, Rawang, terbakar, hari ini.

Dalam kejadian 4 petang itu, pasangan terbabit yang berusia 70-an berjaya diselamatkan jiran yang terdengar jeritan mereka.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Batu Arang Yazli Yahya berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 4.28 petang.

“Seramai 27 pegawai dan anggota dari BBP Batu Arang, BBP Sungai Buloh, BBP Rawang dan BBP Kota Anggerik bersama jentera Pasukan Bomba Sukarela (PBS) Bandar Saujana Utama dikerahkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, api sedang marak. Bagaimanapun kebakaran itu berjaya dikawal sepenuhnya selepas lebih satu jam kerja operasi pemadaman dilakukan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Yazli berkata, kebakaran dipercayai berpunca dari bahagian dapur rumah pasangan terbabit.

“Ketika kejadian, wanita warga emas itu sedang memasak keropok sebelum api menyambar minyak digunakan untuk menggoreng.

“Mangsa kemudian menyimbah air ke dalam minyak masak di dalam kuali terbabit menyebabkan api semakin marak,” katanya.

Beliau berkata, jiran mangsa yang menyedari kejadian itu membantu menyelamatkan mereka keluar dari rumah berkenaan.

“Seorang wanita berusia 30-an yang juga jiran mangsa dan berada di dalam rumahnya ketika kejadian, sempat menyelamatkan diri.

“Kejadian itu menyebabkan dua rumah teres satu tingkat musnah sepenuhnya. Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 9:51 PM