Mohd Razlan Salleh
mrazlan@nstp.com.my


BMW Group Malaysia memperkenalkan Kenderaan Sports Activity (SAV) BMW X3xDrive30i Luxury generasi ketiga terbaru dengan tawaran reka bentuk lebih dinamik.

SAV bersaiz sederhana itu terserlah dengan ciri pemanduan sport dan berteknologi tinggi sebagai salah sebuah kenderaan premium.

Pengarah Urusan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif BMW Group Malaysia, Harald Hoelzl berkata, berdasarkan sejarah industri automotif premium, X3 mewujudkan segmen premium SAV bagi kenderaan bersaiz sederhana pada 2003.

“Dua generasi terdahulu X3 berjaya terjual lebih 1.5 juta unit di seluruh dunia.

“€œHari ini, BMW X3 bersedia meneruskan kejayaan BMW dalam segmen kenderaan premium,” katanya pada majlis pelancarannya di Kuala Lumpur, hari ini.

Hoelzl berkata, pengenalan model terbaru X3 melengkapkan barisan ‘€˜keluarga BMW X’€™ di negara ini.

BMW X3 menampilkan reka bentuk lebih menonjol dan dinamik serta dilengkapi sistem pemanduan terbaik.

Varian xDrive30i Luxury didatangkan bersama sistem pacuan semua roda pintar BMW xDrive.

Reka bentuk luaran lebih rapi dapat dilihat melalui gaya off-road yang lasak dan tampak sporty dengan jarak roda kenderaan dipanjangkan lima sentimeter.

Bahagian hadapan dengan rekaan signatur gril kidney tiga dimensi dan lampu kabus berbentuk heksagon, lampu unit LED berteknologi High-beam Assistant manakala bahagian bawah kenderaan dilindungi salutan warna kelabu dan kilatan krom.

Dengan rim aloi Double Spoke dwi-warna bersaiz 19 inci, X3 tampil gah bersama susunan lampu LED belakang tiga dimensi, spoiler bumbung ekzos berkembar.

Ciri Comfort Access memudahkan pengguna mengakses kenderaan ini serta pintu but kenderaan ini tanpa menggunakan kunci.

Dijana enjin petrol BMW TwinPower Turbo 2.0L empat silinder dan kawalan aci sesondol boleh ubah Double-VANOS menawarkan kuasa maksimum 252hp manakala tork mencecah 350Nm membolehkannya memecut daripada pegun ke 100 kilometer sejam (km/j) dalam masa 6.3 saat sementara kelajuan maksimum adalah 240 km/j.

Ruang dalaman turut disaluti kemewahan apabila permukaan pendingin hawa, audio dan stereng dengan plat tergalvani serba mewah termasuk kerusi kulit Vernasca.

Paparan informasi utama bersaiz 10.25 inci dengan fungsi sesentuh memudahkan pemandu mengetahui sebarang maklumat pemanduan atau hiburan.

Berharga RM320,000 tanpa insurans, empat warna ditawarkan iaitu coklat (Terra Brown), hitam (Black Sapphire), perak (Glacier Silver) dan putih (Alpine White).

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 9:46 PM
HOELZL bersama BMW X3xDrive30i Luxury di majlis pelancaran kenderaan itu di Kuala Lumpur, hari ini. FOTO Zunnur Al Shafiq