Muhammad Mustakim Ramli dan Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


“PERBUATAN itu langsung tidak berperikemanusiaan. Saya berharap dia juga akan rasa penderitaan yang dilakukannya ke atas anak saya."

Itu luahan Hairil Khan Azali bapa kepada kanak-kanak 6 tahun, Mohamad Rayyan Hidayat yang meninggal dunia dipercayai didera kekasih ibunya, Rabu lalu.

Hairil, 32, berkata, kali terakhir beliau berhubung dengan anaknya pada Mac lalu sebelum komunikasi mereka terputus apabila bekas isterinya menghalang mereka dari berhubung.

“Kali terakhir kami berhubung pada 5 Mac lalu iaitu ketika hari lahir saya. Sebelum ini kami tidak bermasalah, malah saya juga tidak dihalang untuk bertemu anak yang sebelum ini dijaga mentua.

“Sejak bekas isteri mengenali lelaki berkenaan, saya tidak lagi berjumpa dengan Rayyan kerana bekas isteri membawa anak kami keluar dari rumah mentua,” katanya ketika ditemui di Tanah Perkuburan Islam Kampung Abi Tok Hashim, Kangar, petang tadi.

Hairil mengakui tidak mengenali lelaki berkenaan dan hanya mengetahui hubungan bekas isterinya melalui anaknya.


Mohamad Rayyan Hidayat Hairil Khan, 6. FOTO Ihsan pembaca

“Rayyan ada memaklumkan dan menghantar gambar lelaki berkenaan kepada saya. Dia juga memaklumkan tidak menyukai lelaki itu,” katanya.

Sementara itu, sepupu kepada ibu mangsa yang mahu dikenali Jo, 46, berkata, mereka sekeluarga tidak mengenali lelaki berkenaan.

“Mereka berkenalan dalam tempoh dua bulan sahaja sebelum ibu mangsa keluar dari rumah untuk tinggal dengan lelaki itu.

“Di mana mereka tinggal kami tidak tahu, saya cuma jelaskan mereka tidak tinggal di sini,” katanya.

Jo berkata, kehilangan kanak-kanak yang mesra dipanggil Buyyat dalam keluarga itu, amat mengejutkan kerana dia seorang yang periang dan lemah lembut.

“Kami tidak boleh terima Buyyat dilakukan seperti itu. Dia bukan kanak-kanak yang lasak dan tidak agresif seperti kanak-kanak lain,” katanya.

Katanya, pasangan berkenaan juga dilihat cuba menyembunyikan sesuatu apabila mereka enggan membenarkan bedah siasat dijalankan ke atas jenazah mangsa di Hospital Sultanah Bahyiah, Alor Setar.

“Tiada sebab untuk mereka menghalang. Saya harap kedua mereka menerima hukuman setimpal dengan apa yang dilakukan,” katanya.

NSTP hari ini melaporkan, kanak-kanak lelaki maut selepas dipercayai didera kekasih ibunya pada bahagian badan, Rabu lalu.

Mangsa disahkan meninggal dunia sekitar 4 pagi di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, selepas tidak sedarkan diri dan muntah beberapa jam sebelum itu.

Kanak-kanak itu hanya diketahui didera selepas laporan bedah siasat mendapati beliau dipukul menggunakan objek tumpul hingga menyebabkan tulang rusuknya patah selain ususnya turut pecah.

Berita berkaitan:

Sampai pecah ususnya didera

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 5:36 PM