RAHAMAN (tengah) diiringi anggota polis keluar dari Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini selepas dijatuhkan hukuman penjara tiga hari dan denda RM2,000 sejurus mengaku bersalah mencuri bawang bernilai RM11.26 di sebuah pasar raya di Melaka Sentral. FOTO Muhammad Zuhairi Zuber
Nurul Fhatihah Zakinan
fhatihah@nstp.com.my


AKIBAT mencuri bawang di sebuah pasar raya berjumlah RM11.26, seorang pekerja khidmat pelanggan dipenjara tiga hari dan denda RM2,000 oleh Mahkamah Majistret Ayer Keroh, hari ini.

Majistret Mohd Firdaus Saleh menjatuhkan hukuman itu terhadap Rahaman Sukuler, 28, yang juga warganegara India selepas mengaku bersalah sejurus pertuduhan dibacakan terhadapnya.

Tertuduh turut berdepan hukuman penjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh yang bekerja di bahagian khidmat pelanggan Zara Mydin Melaka Sentral didakwa dengan niat curang mencuri dua beg plastik bawang besar bernilai RM11.26 milik syarikat itu pada 12.04 tengah malam 6 Mac lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya N Sivashangari memohon hukuman setimpal dikenakan terhadap tertuduh kerana mempunyai gaji tetap dan tidak sepatutnya mencuri.

Bagaimanapun, tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman denda dikenakan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 5:22 PM