FOTO hiasan
Shahrinnahar Latib
cnews@nstp.com.my


JURUTERA di Kuantan rugi RM7,600 akibat terpedaya tawaran pakej umrah murah yang ditawarkan syarikat pelancongan sedangkan pakej itu tidak wujud.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Superintendan Mohd Wazir Mohd Yusof berkata, pada Oktober tahun lalu, mangsa lelaki berusia 43 tahun berurusan dengan wanita iaitu ejen syarikat Enigma Travel & Tours Sdn Bhd.

"Mangsa kemudian bersetuju untuk mengambil pakej umrah serendah RM3,500 seorang. Dia bersetuju mengambil pakej berkenaan bagi dua orang, sebelum memasukkan wang RM7,600 termasuk bayaran lain yang dikenakan sindiket berkenaan ke dalam akaun bank CIMB di atas nama syarikat berkenaan pada 11 Oktober tahun lalu.

"Syarikat berkenaan menetapkan penerbangan untuk mangsa pada 21 Disember 2017 dan dijangka pulang pada 31 Disember. Namun pada 20 Disember, mangsa dihubungi wanita lain memaklumkan penerbangannya terpaksa ditunda kepada 31 Disember," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Mohd Wazir berkata, mereka mendakwa penerbangan ditunda kerana terdapat masalah visa dan sekiranya mangsa mahu membatalkan pakej itu, syarikat berkenaan berjanji akan memulangkan balik bayaran yang dibuat dalam jangka masa dua bulan.

"Mangsa membatalkan pakej berkenaan memandangkan pada tarikh yang diberikan itu, cuti persekolahan sudah tamat. Namun selepas dua bulan, mangsa belum menerima balik wang berkenaan seperti dijanjikan.

"Mangsa yang tidak berpuas hati, membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuantan, semalam selepas diperdaya syarikat yang menawarkan pakej umrah yang tidak wujud," katanya.

Sementara itu Mohd Wazir berkata, dalam kes berasingan, pelajar perempuan berusia 17 tahun kerugian RM5,360 selepas diperdaya sindiket menawarkan pembelian syiling lama.

"Dalam kejadian Sabtu lalu, mangsa menerima mesej Whatsapp yang memperkenalkan dirinya sebagai Hazim dan berminat untuk membeli duit syiling lama yang diiklankan mangsa di Instagram.

"Setelah berbincang, mangsa diminta untuk memasukkan duit untuk mengaktifkan akaun bank kerana ianya prosedur transaksi antarabangsa. Harga syiling berkenaan ditentukan nilai oleh lelaki itu dengan harga USD35,000 (RM136,237)," katanya.

Beliau berkata, mangsa kemudian beberapa kali membuat transaksi wang ke dalam satu akaun bank yang diberikan oleh suspek sehingga jumlah keseluruhan RM5,360.

"Selepas memasukkan semua wang berkenaan, mangsa menyedari seperti ditipu dan apabila suspek meminta lagi wang, mangsa membuat laporan polis di IPD Kuantan, semalam.

"Kedua-dua kes ini disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun dan sebat serta boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 11:41 AM