PESURUHJAYA PAS Wilayah Persekutuan Mohammad Noor (tengah) bersama calon parti itu yang bakal bertanding merebut kerusi Parlimen Wilayah Persekutuan pada PRU-14. FOTO Aizuddin Saad
Meor Riduwan Meor Ahmad; Mohd Nasaruddin Parzi dan Nor Ain Mohamed Radhi
cnews@bh.com.my


BEKAS Timbalan Naib Canselor UNISEL, Zainal Kidam diumum antara calon PAS untuk bertanding di salah satu daripada sembilan kerusi Parlimen di Wilayah Persekutuan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) bulan depan.

Beliau akan bertanding di Parlimen Putrajaya, kawasan yang kini diwakili Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Zainal dijangka akan ditentang penganalisis politik dan bekas pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Datuk Dr Samsu Adabi Mamat yang sebelum ini diumum sebagai calon Pakatan Harapan di kerusi berkenaan.

Turut ditampilkan PAS di Wilayah Persekutuan adalah dua calon profesional iaitu doktor gigi, Dr Rosni Adam yang akan bertanding di Bandar Tun Razak manakala arkitek bertauliah, Fauzi Abu Bakar di Lembah Pantai.

Sementara itu, Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohamad Noor Mohamad yang sebelum ini tewas dalam dua PRU dipilih sebagai calon Parlimen Titiwangsa.

Calon lain adalah Ubaid Abd Akla (Setiawangsa); Ahmad Junid @Junit Mohd Aling @Aling (Labuan); Azhar Yahya (Batu); Razali Tumiran (Wangsa Maju) dan Mohd Solleh Abd Razak di Parlimen Segambut.

Zainal ketika berucap berharap pada PRU ke-14 nanti bakal ada perubahan di kerusi berkenaan dengan kemenangan berpihak kepada PAS.

“(Pengundi di Putrajaya) jangan takut...tapi saya yakin kali ini (orang) Putrajaya tidak takut lagi. Saya tahu orang Putrajaya orang terpelajar dan tahu masalah berlaku di Putrajaya.

“Kita mahu semua orang Putrajaya bangkit untuk membina negara lebih baik,” katanya berucap selepas diumumkan sebagai calon di Kolej Universiti Islam Zulkifli Muhammad (KUIZM) di Gombak, malam tadi.

Sementara itu, Mohamad Noor berkata, kombinasi calon ditampilkan PAS di bawah Gagasan Sejahtera itu menggabungkan kombinasi golongan profesional, ahli pendidikan dan agamawan.

Beliau berkata, calon diketengahkan itu menolak tanggapan bahawa PAS hanya menampilkan golongan agamawan saja.

CALON-CALON PAS WILAYAH PERSEKUTUAN PRU-14

1) P 124: BANDAR TUN RAZAK - Dr Rosni Adam

2) P 115: BATU - Azhar Yahya

3) P 116: WANGSA MAJU - Razali Tumiran

4) P 117: SEGAMBUT - Muhammad Soleh Abdul Razak

5) P 118: SETIAWANGSA - Ubaid Abdul Akla

6) P 121: LEMBAH PANTAI - LAr Fauzi Abu Bakar

7) P 125: PUTRAJAYA - Prof Zainal Abidin Kidam

8) P 166: LABUAN - Ahmad Junit Ahmad Alit

9) P 119: TITIWANGSA - Mohammad Noor Mohammad

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 20 April 2018 @ 12:12 AM