KERETA Proton Wira dinaiki tiga suspek warga Indonesia yang ditahan berhampiran susur Pedas-Linggi di Rembau, malam tadi. FOTO ihsan polis
Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


TIGA lelaki warga Indonesia bukan sahaja memecut laju kereta dinaiki, malah turut menghimpit kenderaan polis yang mengejar selepas enggan berhenti untuk pemeriksaan di Lebuhraya PLUS arah utara berhampiran susur Pedas-Linggi, Rembau, malam tadi.

Dalam kejadian 7.20 malam itu, tiga suspek berusia 30-an itu bagaimanapun berjaya ditahan di Kilometer 233.4 lebuh raya itu selepas polis mengejar kereta Proton Wira dinaiki mereka sejauh 10 kilometer (km).

Terdahulu, anggota unit kereta peronda polis (MPV) yang melakukan rondaan di lebuh raya berkenaan melihat kereta suspek dari arah Melaka ke Kuala Lumpur itu dalam keadaan mencurigakan dengan sarat membawa muatan buah mangga.

Ketua Polis Daerah Rembau, Deputi Superintendan Anuar Bakri Abdul Salam berkata, anggota terbabit mengarahkan suspek memberhentikan kenderaan, tetapi pemandunya tidak menghiraukan arahan sebaliknya terus memecut laju.

“Anggota mengejar kereta suspek sejauh 10km sebelum berjaya menghalang kereta berkenaan berhampiran susur ke Plaza Tol Pedas-Linggi.

“Pemeriksaan mendapati tiga lelaki termasuk pemandu itu adalah warga Indonesia. Dua daripadanya tidak mempunyai dokumen perjalanan sah manakala seorang lagi dokumen tamat tempoh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan mengenai penemuan buah mangga yang dibawa suspek itu sama ada ia dicuri atau dibeli daripada pihak lain.

Menurutnya, suspek kini direman 14 hari mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan kerana menghalang penjawat awam menjalankan tugas dan Akta Imigresen 1959/63.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 8:39 PM