Raja Noraina Raja Rahim
rnoraina@nstp.com.my


JABATAN Kastam Diraja Malaysia (JKDM) mematahkan cubaan menyeludup dadah bernilai RM3 juta menggunakan almari kayu buatan Pakistan di Pelabuhan Klang, Selangor, 8 April lalu.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam Bahagian Penguatkuasaan dan Pematuhan Datuk Zulkifli Yahya berkata, serbuan dilakukan di sebuah gudang pada 3.30 petang sekali gus menemui dadah jenis ketamin seberat 50 kilogram.

Katanya, dalam serbuan itu, pihaknya turut menahan tiga lelaki termasuk seorang warga Pakistan berusia 27 hingga 42 tahun.

“Dua lelaki dilihat mengeluarkan almari kayu dari sebuah kontena yang baru tiba dari Karachi, Pakistan sebelum memasukkannya ke but belakang kereta Proton Wira.

“Anggota kemudian mengekori kereta itu sebelum menahannya di tepi Jalan Jasa, Klang. Pemeriksaan ke atas almari itu menemui 25 bungkusan ketamin dengan setiap bungkusan seberat satu kilogram disorok di belakang laci almari berkenaan.

“Hasil soal siasat, suspek membawa anggota ke sebuah gudang di Pelabuhan Klang dan menemui sebuah lagi almari. Pemeriksaan pada almari itu turut menemui 25 lagi bungkusan dadah sama,” katanya dalam sidang media di Cawangan Narkotik, Ibu Pejabat JKDM di Nilai, hari ini.

Susulan penahanan dua suspek itu, Zulkifli berkata, pihaknya menahan seorang lagi suspek yang disyaki turut terbabit dalam kegiatan terbabit di Klang, pada Selasa lalu.

Katanya, ketiga-tiga suspek direman selama 14 hari bagi siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Melalui siasatan, kami percaya dadah yang dibawa masuk itu untuk pasaran di negara ini,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 1:51 PM
ZULKIFLI (dua kanan) menunjukkan ketamin yang disembunyikan dalam almari kayu di Ibu Pejabat KDRM Bahagian Narkotik di Kampung Jijan, Nilai, hari ini. FOTO/VIDEO Hazreen Mohamad