AHLI misi MyCARE menyampaikan bantuan kepada kanak-kanak Syria di kem pelarian di Jordan.
Mahaizura Abd Malik
mahaizura@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Majoriti daripada keseluruhan 660,000 pelarian Syria kini menumpang di bumi Jordan, hidup dalam keadaan daif, apabila terpaksa berkongsi khemah, dapur, tandas dan sumber air bersih bagi meneruskan kehidupan.

Ketua Pegawai Eksekutif Humanitarian Care Malaysia (MyCARE) Kamarul Zaman Shaharul Anwar berkata, selain mengharapkan bantuan pertubuhan bukan kerajaan (NGO), ada dalam kalangan pelarian mengambil upah dengan bekerja di ladang milik penduduk tempatan.

Namun, sukar bagi mereka memperoleh pendapatan tetap berikutan berpindah ke lokasi lain setiap tiga bulan sekali mengikut musim menuai di sesebuah kawasan.

“Contoh jika musim menuai di satu tempat itu berakhir, mereka berpindah ke lokasi lain yang memerlukan tenaga kerja dalam jumlah ramai. Jadi pelarian dapat sedikit upah.

“Hidup berpindah-randah juga menyebabkan aspek pendidikan kanak-kanak daripada keluarga pelarian terabai,” katanya yang menjalan misi bantuan kemanusian di beberapa kem pelarian di Jordan, minggu lalu.

Menurutnya, sepanjang misi kemanusiaan berkenaan, MyCARE menyampaikan sumbangan rakyat Malaysia berupa makanan keperluan dan kit kebersihan bernilai RM30,000 kepada 50 keluarga di dua kem pelarian di Abu Ahmad dan Abu Abdullah sekitar Mafraq.

Beliau berkata, sepanjang tahun ini, MyCARE memperuntukan RM100,000 untuk disalurkan kepada pelarian Syria yang berlindung di Jordan menerusi rakan pelaksana MyCARE i4Syria Jordan (i4SJo) terdiri dalam kalangan penuntut Malaysia belajar di universiti sekitar Irbid, Mafraq, Amman dan Mu’tah.

Kanak-kanak Syria menyertai program bersama sukarelawan.

Selain itu, rombongan misi juga berkesempatan menziarahi sekolah di bawah kelolaan Teach For The Needs (TFTN) yang mempunyai 80 murid dan pelajar dalam kalangan anak pelarian berusia lapan hingga 16 tahun.

Kamarul Zaman berkata, misi berkenaan bukan saja bertujuan membantu pelarian, malah mengukuhkan jalinan kerjasama sedia ada dengan rakan NGO dan Kedutaan Malaysia di Jordan supaya bantuan kemanusiaan di masa hadapan dapat disalurkan dengan lebih efektif.

Katanya, berdasarkan kepada perkembangan semasa, MyCARE bercadang memperkukuhkan sosioekonomi komuniti pelarian menerusi projek pertanian atau penternakan di atas tanah milik penduduk tempatan.

“Saya melihat ada kumpulan pelarian boleh berdikari dengan menternak lembu dan kambing serta aktiviti pertanian di atas tanah penduduk tempatan yang disewa. Itu satu projek yang boleh dilaksanakan dan membantu komuniti pelarian.

“Selain menjana pendapatan tetap, pelarian juga tidak perlu lagi berpindah ke kawasan lain mengikut musim menuai seperti sekarang,” katanya.

Orang ramai yang berminat membantu menjayakan projek #HumanityBeyondBorders boleh menghulurkan batuan ke akaun Humanitarian Care Malaysia Berhad di Maybank Islamic 551575004299, Bank Islam 12092010034904, CIMB Islamic 8602135592 atau secara dalam talian di www.billplz.com/meal4them.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 4:25 AM