Dr Mazlan (lima dari kiri) bersama sukarelawan di majlis pelancaran sukarelawan ICT Malaysia di Cyberjaya, semalam.
Azura Abas dan Irwan Shafrizan Ismail
cnews@nstp.com.my

Cyberjaya: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sedang menyiasat 50 peratus daripada 1,500 berita palsu disebarkan melalui media sosial yang didapati mengandungi unsur menyerang agensi kerajaan, Melayu dan Islam.

Ketua Pegawai Operasi SKMM, Datuk Dr Mazlan Ismail berkata, sebahagian besar atau 99 peratus berita palsu disebarkan itu dilakukan pihak yang berada dalam negara.

Bagaimanapun, katanya, pihaknya menghadapi cabaran bagi mengenal pasti dalang yang menggerakkan kilang mewujudkan berita palsu berkenaan berikutan kebanyakannya menggunakan akaun palsu di medium maya.

“Kalau kilang dulu memerlukan tempat, contoh macam Red Bean Army, yang ada pejabat dan sebagainya untuk menggerakkan operasi, tapi sekarang ini bukan lagi seperti itu, kilang itu mungkin boleh berada di atas katil di mana-mana saja.

“Sekarang zaman wireless, tidak perlukan pejabat pun untuk menggerakkan agenda seperti ini dan masing-masing ada masa sendiri untuk gerakkan operasi. Ini cabaran dihadapi SKMM mengenal pasti dalang yang menggerakkan kilang kepada penyebaran berita palsu ini.

“Ia juga menjadi semakin rumit, apabila pihak yang melakukannya menggunakan akaun palsu, dan sebahagiannya atau 30 peratus daripada 1,500 berita palsu disebarkan ini menggunakan akaun palsu, apabila sudah viral sesuatu isu itu, mereka akan cepat-cepat tutup akaun berkenaan bagi mengelak dijejaki,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Pelancaran Program Sukarelawan Teknologi Komunikasi Maklumat (MIV) Institusi Pendidikan Tinggi yang disempurnakan Pengerusi SKMM, Tan Sri Dr Halim Shafie di Universiti Multimedia (MMU) di sini, semalam.

Turut hadir, Presiden MMU, Prof Datuk Dr Ahmad Rafi Mohamed Eshaq.

Kelmarin, menerusi Program Bicara BH bertajuk Internet dan Pilihan Raya, SKMM mendedahkan wujud gerakan tertentu bersembunyi di sebalik media sosial atau Internet, yang aktif menyebarkan dakyah memburukkan kerajaan melalui medium maya itu.

Gerakan itu berperanan seperti ‘kilang’ untuk mewujudkan berita palsu dengan motif utama mempertikai integriti dan kecekapan kerajaan, selain turut mensasarkan Melayu dan Islam.

Ditanya mengenai penguatkuasaan terhadap penyebar berita palsu, Mazlan berkata, sepanjang tahun lalu, 40 individu disiasat mengikut Seksyen 233, Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan daripada jumlah itu 10 didakwa di mahkamah setakat ini.

Sementara itu, Ketua Pegawai Sektor Keselamatan Rangkaian, Pemantauan Media Baharu, Pematuhan dan Advokasi SKMM, Dr Fadhlullah Suhaimi Abdul Malek, ketika dihubungi berkata, pihaknya juga sudah menyekat 46 laman web dan blog yang menyebarkan berita palsu.

“Kami berusaha menyahaktifkan 4,618 akaun sosial media palsu yang digunakan menyebarkan berita palsu,” katanya.

Mengulas program sukarelawan MIV yang akan disertai 50 pelajar MMU di Pusat Internet 1Malaysia (PI1M) di Selangor dan Melaka, Halim berkata, inisiatif yang dijalankan itu diharap dapat membantu komuniti dalam membudayakan penggunaan teknologi digital dalam kehidupan seharian mereka.

“Ini pasti membantu masyarakat dalam memanfaatkan penggunaan teknologi bagi mempertingkatkan kualiti kehidupan mereka. Malah program ini memberi manfaat kepada pelajar yang menyertainya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 19 April 2018 @ 2:49 AM