MERAH yang dilaporkan hilang sejak 2009. FOTO Zain Ahmed
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


DUA beradik perempuan tidak pernah berputus-asa mencari ibu mereka yang hilang sejak sembilan tahun lalu termasuk sanggup memandu kereta dari Kuala Lumpur ke Johor Bahru.

Rohani Muhamat, 58, berkata dia dan kakaknya, Salmah, 60, datang ke Johor Bahru selepas mendapat petunjuk dan maklumat mengenai ibu mereka, Merah Chuit, 99.

“Kakak saya mendapat petunjuk dan maklumat bahawa ibu masih hidup dan mungkin berada di bawah jagaan rumah orang-orang tua di sekitar Pasir Gudang.

“Sejak tiba dari Kuala Lumpur, semalam, kami sudah pergi ke beberapa rumah orang-orang tua yang ada di sekitar kawasan itu, namun gagal menemui ibu,” katanya ketika hadir di pejabat NSTP di Bandar Baru Uda, Johor Bahru, hari ini.

Bercerita mengenai kehilangan Merah, Rohani berkata, ibu mereka yang mempunyai masalah mudah lupa keluar dari rumah di Kampung Bukit Senggeh, Jasin, Melaka seorang diri pada 22 Januari 2009.

Menurutnya, sejak itu dia bersama lapan beradik lain tidak pernah berhenti mencari ibu mereka termasuk mendapat khidmat Pasukan Gerakan Am (PGA) dan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), namun gagal.

Katanya, mereka juga pernah menyiarkan berita kehilangan ibunya di akhbar dan televisyen pada 2009, dan kini memilih untuk menyebarkan sekali lagi berita itu dalam usaha menjejaki wanita itu.

“Sepanjang kehilangan ibu, kami pernah ke Kelantan, Perak dan ke mana saja mengikut maklumat yang diterima, sehinggalah semalam kami datang ke Pasir Gudang kerana mendapat maklumat ibu ada di sekitar kawasan itu,” katanya.

Rohani berkata, dia meminta kerjasama orang ramai terutama pengurusan rumah-rumah kebajikan untuk membantu sekiranya mempunyai maklumat.

Mereka yang mempunyai maklumat mengenai Merah boleh menghubungi Rohani di talian 016-6390006 atau Salmah (012-3397353).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 18 April 2018 @ 3:47 PM