Pengurus restoran di Mahkamah Sesyen selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM500 kepada penguat kuasa MPK, tahun lalu.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my

Johor Bahru: Seorang pengurus restoran dipenjara sehari dan didenda RM10,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini, semalam selepas mengaku bersalah memberi rasuah RM500 kepada penguat kuasa Majlis Perbandaran Kluang (MPK), tahun lalu.

Lim Kim Chui, 60, dijatuhkan hukuman itu oleh Hakim Kamarudin Kamsun selepas lelaki itu mengaku bersalah pada hari sebutan semula kes itu, semalam.

Pada 19 Mac lalu, Lim mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi rasuah kepada Pembantu Penguat Kuasa MPK, Sharulnizam Isa, 27, sebagai dorongan membatalkan dua kompaun MPK ke atas Restoran Ah Yu milik isterinya, Chun Nyuk, Kiow, 54.

Kompaun itu dikeluarkan kerana pemilik restoran itu melakukan kesalahan meletakkan kerusi dan meja di kaki lima premis dan lebuh awam tanpa permit dan kebenaran MPK.

Perbuatan itu dilakukan di Jalan Majupadu, Taman Majupadu, Kluang pada 13 September 2017.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun atau denda RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan atau mana yang lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Anis Redza Mohamad Anuar manakala tertuduh diwakili peguam Farhan Hamdan.

Sebelum hukuman dijatuhkan, Farhan memohon jumlah denda dan penjara yang ringan memandangkan anak guamnya menanggung tiga anak yang masih bersekolah.

Selain itu, katanya, tertuduh adalah orang kurang upaya (OKU) yang hilang keupayaan selepas menghidap angin ahmar.

Mahkamah kemudian menjatuhkan hukuman berkenaan dan turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, namun tertuduh membayar denda terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 17 April 2018 @ 3:02 AM