ILIAS menunjukkan rumah sewa miliknya yang musnah dalam kebakaran di Jalan Kapar, Klang, malam tadi. FOTO Faliq Lajim
Faliq Lajim
cnews@nstp.com.my


SEBANYAK 14 kereta, kedai kereta dan empat rumah hangus dalam kebakaran di Jalan Kapar, Klang, 8.15 malam tadi.

Mangsa, Suhana Sauki, 43, berkata ketika kejadian dia baru sahaja selesai menunaikan solat.

“Lepas saya buka telekung, saya rasa tak sedap hati macam ada bau hangit. Beberapa saat kemudian saya terdengar bunyi letupan sangat kuat.

“Saya lari keluar dari rumah untuk selamatkan diri. Memang tidak sempat nak selamatkan apa-apa kerana yang difikirkan adalah nyawa saya. Nasib baik, suami pergi tahlil berdekatan rumah dan anak semuanya di kampung.

“Peralatan bertukang suami bernilai RM7,000 semua hangus. Duit serta barang kemas turut terbakar. Namun syukur tiada nyawa terkorban,” katanya.

Mangsa lain, Ilias Salam, 56, berkata ketika kejadian dia sedang berehat di ruang tamu rumah dan menyedari ada kepulan asap masuk ke rumahnya.

“Mula-mula, saya ingat ada orang bakar sampah dan saya keluar menjenguk. Apabila keluar saya lihat api sudah marak, terus saya panggil semua orang keluar rumah.

“Saya kini hilang sumber pendapatan kerana hanya bergantung dengan wang rumah sewa serta sewa tanah di kedai kereta terbabit yang berjumlah lebih RM3,000 sebulan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Pinang, Zaidi Athan berkata, kebakaran itu membabitkan sebuah kedai kereta terpakai dan empat rumah sewa.

“Kami menerima panggilan pada 8.20 malam berhubung kejadian terbabit. Seramai 30 pegawai dan anggota BBP Sungai Pinang, Kota Raja dan Kapar dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Kami mendapatkan bantuan jentera tangki air dari BBP Pelabuhan Klang dan Kota Anggerik sebelum kebakaran berjaya dikawal sepenuhnya pada 11 malam.

“Semua penghuni rumah sempat menyelamatkan diri dan kami masih masih menyiasat punca kejadian serta anggaran jumlah kerugian,” katanya.

.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 5:32 PM