TAN Sri Shahrizat Abdul Jalil. FOTO ARKIB Nurul Syazana Rose Razman
Fahmy Azril Rosli
cnews@nstp.com.my


SPEKULASI berhubung Ketua Wanita UMNO Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dijangka bertanding kerusi Parlimen Bandar Tun Razak terjawab apabila beliau mengesahkan tidak akan bertanding di kawasan itu.

Dalam status yang dimuat naik di akaun Facebooknya hari ini, Shahrizat menegaskan tidak akan menerima tawaran bertanding di Bandar Tun Razak.

Pada bulan lalu, Shahrizat turut menolak pelawaan bertanding sebagai calon di Parlimen Sungai Besar pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) ini kerana melihat ada tokoh tempatan berpotensi diketengahkan sebagai calon di kawasan berkenaan.

Kali ini, walaupun yakin Parlimen Bandar Tun Razak boleh dirampas semula Barisan Nasional (BN) daripada PKR, kesanggupan Shahrizat menolak tawaran itu juga seolah-olah mahu memberi peluang kepada calon lain.

“Ramai yang tanya saya adakah saya akan terima tawaran bertanding di Parlimen Tun Razak. Jawapan saya tidak walaupun Bandar Tun Razak adalah satu kawasan BN boleh menang dan tewaskan PKR,” katanya.

Sebelum ini, khabar angin bertiup kencang menyatakan Shahrizat bakal tercalon di Bandar Tun Razak yang secara tradisinya ditandingi wakil MCA.

Beliau nyata terkejut dengan desas-desus itu sambil menyifatkannya hanya satu spekulasi politik semata-mata menjelang PRU-14.

Pada PRU-13, kerusi Parlimen Bandar Tun Razak ditandingi wakil MCA tetapi dipercayai akan berlaku pertukaran kerusi di antara MCA dan UMNO pada PRU-14 ini.

UMNO mahu meletakkan calonnya atas alasan mendapat sokongan baik masyarakat Melayu iaitu 50 peratus daripada jumlah pengundi kawasan berkenaan.

Pada PRU-13, wakil MCA tewas kerusi Bandar Tun Razak kepada calon PKR, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dengan majoriti 11,832 undi.

Abdul Khalid, 72, menjadi Ahli Parlimen Bebas selepas keluar PKR dan difahamkan enggan bertanding mempertahankan kedudukannya di kawasan itu pada PRU-14.

Shahrizat adalah ahli UMNO Kepong yang menceburi politik pada 1982 sebagai Ketua Wanita UMNO Cawangan Kepong Baru.

Beliau dipinjamkan ke Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur ketika PRU 1995 dan berjaya memenangi tiga penggal pilihan raya di Parlimen Lembah Pantai.

Pada 1995, beliau mengalahkan bekas Ketua Hakim Negara Tun Mohamed Salleh Abas, yang mewakili Semangat 46 dengan majoriti 13,361 undi.

Pada PRU 1999, Shahrizat menumbangkan calon PKR Zainur Zakaria dengan majoriti 1,417 undi dan menang besar pada PRU 2004 mengalahkan bekas Setiausaha Agung Parti Rakyat Malaysia (PRM) Dr Sanusi Osman, yang bertanding atas tiket PKR dengan majoriti 15,288 undi.

Bagaimanapun, Shahrizat kalah dengan majoriti 2,895 undi kepada Nurul Izzah Anwar (PKR) pada PRU-12. Pada PRU-13, Shahrizat tidak bertanding di mana-mana kawasan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 16 April 2018 @ 10:39 AM