NIK Omar. FOTO Fathil Asri
Sharifah Mahsinah Abdullah dan Betty Subaryati
cnews@nstp.com.my

ANAK bekas Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan, Nik Omar Nik Aziz, mengesahkan tidak akan bertanding di bawah tiket Parti Amanah Negara (PAN) pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Anak kepada Allahyarham Datuk Nik Aziz Nik Mat yang berusia 53 tahun itu berkata, beliau tidak akan bertanding sebagai calon PAN seperti yang heboh diperkatakan kerana tidak mendapat restu daripada ibunya Tuan Sabariah Tuan Ishak.

"Ibu meminta saya supaya tidak terbabit dalam pertandingan sama ada di bawah PAN atau menjadi calon kepada mana-mana parti.

"Beliau (ibu saya) tidak mahu berlaku pertembungan dalam keluarga dan sebagai anak yang taat pada ibu, saya akur dengan kemahuannya.

"Saya hanya akan terbabit dalam politik jika ada ruang atau jika beliau mengizinkan," katanya ketika ditemui di pejabatnya di Pulau Melaka, Kota Bharu, hari ini.

Anak kedua daripada 10 adik-beradik itu berharap jawapannya itu menyelesaikan segala spekulasi mengenai isu sama ada beliau akan bertanding di bawah tiket PAN pada PRU-14.

Ditanya sama ada beliau sebelum ini berhasrat untuk bertanding di bawah tiket PAN, bapa kepada lima anak itu tidak menafikan hasrat untuk berbuat demikian.

"Niat saya sebenar untuk memberi sumbangan kepada agama Islam dan berharap sumbangan saya nanti akan mengubah suasana politik negara ini yang sekarang semakin berat.

"Bagaimanapun, apabila ibu tidak bersetuju dengan niat itu, saya pilih untuk akur padanya. Jawapan yang sama akan saya beri kepada pemimpin atau wakil PAN nanti," katanya.

Bagaimanapun, Pengetua Madrasah Darul Anuar di Pulau Melaka itu berkata, dia masih lagi ahli PAS dan akan setia kepada parti sehingga akhir hayatnya dan tak akan pernah meninggalkan parti itu.

Khabar angin bertiup kencang sejak kebelakangan ini bahawa kemungkinan ada persaingan politik antara Nik Omar dan abangnya, Nik Abduh, selepas pengerusi PAN negeri, Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, mengatakan Nik Omar berkemungkinan bertanding di bawah tiket PAN.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 6:05 PM