MOHD Khalil (dua dari kanan) menunjukkan dadah jenis syabu dan pistol yang dirampas daripada suspek pada sidang media di Johor Bahru, hari ini. FOTO Hairul Anuar Rahim
Mary Victoria Dass
maryvictoria@nstp.com.my


POLIS menahan seorang ahli sindiket pengedaran dadah sebelum merampas sepucuk pistol bersama 54 butir peluru hidup dan 8.09 kilogram (kg) dadah bernilai RM566,000 dalam serbuan di rumah kedai di Tangkak, 11 April lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Khalil Kader Mohd berkata, lelaki warga tempatan berusia 47 tahun itu terlebih dahulu ditahan sepasukan anggota dan pegawai Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman pada 6 April lalu di sekitar Tangkak.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati lelaki berkenaan memiliki rekod jenayah lampau berkaitan dadah selain ujian saringan air kencing mendapati dia positif dadah.

Katanya, susulan tangkapan itu, pasukan khas berkenaan dengan kerjasama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tangkak menyerbu rumah kedai bermula jam 3.40 petang hingga 9.30 malam pada 11 April lalu.

“Menerusi serbuan itu, polis menemui bekalan syabu seberat 8.09kg dipercayai bagi menampung kira-kira 4,000 penagih selama sebulan.

“Polis turut menemui sepucuk pistol jenis Stoeger Cougar 8000 Beretta, satu kelopak peluru berisi empat peluru hidup, lima kelongsong peluru dan 50 peluru hidup.

“Pada masa sama, pasukan berkenaan menemui satu mesin pencetak pil ekstasi di premis berkenaan,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Derma Darah sempena Hari Polis Ke-211 di Paradigm Mall, Johor Bahru, hari ini.

Mohd Khalil berkata, suspek kini direman reman sehingga 20 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 8/8A Akta Senjata Api Lebih Berat 1971.

Katanya, sejak Januari lalu, polis Johor berjaya melumpuhkan empat sindiket pengedaran dadah dan mengalu-alukan bantuan orang ramai menyalurkan maklumat bagi membolehkan polis menjalankan siasatan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 15 April 2018 @ 5:43 PM