HERMAN mendakwa ditumbuk seorang lelaki selepas menegur mereka mengedar risalah politik di pekarangan Masjid Kota Masai, semalam. FOTO Ihsan Herman Irmadi
Ibrahim Isa
ibrahim_isa@nstp.com.my


BERANG ditegur supaya tidak mengedarkan risalah politik di Masjid Kota Masai selepas solat Jumaat semalam, dua lelaki bertindak menumbuk kepala pengerusi masjid itu sebelum melarikan telefon bimbitnya.

Bagaimanapun, puluhan jemaah bertindak menutup pintu pagar masjid sekali gus berjaya menghalang dua lelaki, 30-an, itu daripada melarikan diri dan memulangkan semula telefon bimbit mangsa.

Mangsa Herman Irmadi, 45, berkata kejadian berlaku apabila dia menegur dua lelaki itu daripada mengedarkan risalah politik di perkarangan masjid.

“Ketika jemaah mahu pulang selepas solat Jumaat, saya dapati berlaku kesesakan sebelum menyedari dua lelaki itu sedang mengedarkan risalah.

“Saya menegur mereka supaya ke tepi dan mengedarkan risalah di luar kawasan masjid bagi menghormati urusan jemaah yang mungkin bergegas ke tempat kerja.

“Kedua-dua lelaki itu terus beredar, namun apabila saya menunggang motosikal dan mahu pulang, saya ditahan mereka di pintu pagar," katanya ketika dihubungi NSTP.

Menurutnya, berlaku pertengkaran antara mereka sebelum salah seorang daripada lelaki itu melepaskan tumbukan yang terkena bawah telinga kirinya dan melarikan telefon bimbitnya.

Katanya, kedua-dua lelaki itu kemudian menaiki kereta yang diletak di parkir masjid, namun jemaah berjaya menutup pintu pagar bagi menghalang mereka melarikan diri.

“Kami mengambil masa beberapa minit sebelum lelaki berkenaan memulangkan telefon bimbit saya dan kami membuka pintu pagar.

"Saya membuat laporan kejadian di Balai Polis Scientex pada 5.30 petang tadi (semalam),” katanya.

Sementara itu, jurucakap polis ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian, namun enggan mengulas lanjut.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 14 April 2018 @ 12:22 AM