ANTARA barang dirampas selepas polis menyerbu rumah di Taman Bukit Kempas, Johor Bahru dan menahan lima suspek, hari ini. FOTO ihsan FB IPD JBU.
Izlaily Nurul Ain Hussein
izlaily@nstp.com.my


TINDAKAN lima perompak menjadikan rumah di Jalan Bukit Kempas 1/6, Taman Bukit Kempas, Johor Bahru sebagai stor simpanan pelbagai barangan curi membawa padah apabila polis menahan semua suspek dan merampas pelbagai barang kes pecah rumah dan kereta dicuri mereka, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Utara, Asisten Komisioner Mohd Taib Ahmad berkata, dalam serbuan 8.30 malam itu, pihaknya menahan dua lelaki dan seorang wanita manakala dua lelaki lain sempat melarikan diri.

Beliau berkata, bertindak atas maklumat satu kes pecah rumah di kawasan berhampiran, satu pasukan khas ditubuhkan dan membuat intipan ke atas tiga lelaki dan seorang wanita yang sering berada di rumah berkenaan.

Menurutnya, ketika polis menghampiri wanita berkenaan di pekarangan rumah itu, dia cuba melarikan diri ke dalam kereta Nissan Almera, namun ditahan anggota yang melakukan serbuan.

“Menyedari kehadiran polis, dua lelaki cuba melarikan diri ke dalam Proton Wira namun ditahan anggota kami, bagaimanapun seorang lelaki lain berjaya melarikan diri.

“Pemeriksaan ke atas seorang lelaki berusia 48 tahun dan beg silang warna coklat dipakainya membawa kepada penemuan wang tunai dan sekeping lesen memandu miliknya.

“Turut dirampas barang kemas dan jam tangan daripada suspek,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohd Taib berkata, pemeriksaan ke atas suspek lelaki berusia 44 tahun tidak menemui apa-apa barang, bagaimanapun pemeriksaan beg silang berwarna hitam bertulis dan berlogo Imigresen Malaysia dipakai suspek wanita berusia 30 tahun menemui tiga kad keahlian, satu kad pengenalan dan satu lesen memandu milik suspek lelaki yang melarikan diri.

Beliau berkata, hasil semakan mendapati, Proton Wira dinaiki dua suspek lelaki itu mempunyai rekod hilang bersabit kes dilaporkan di Taman Ungku Tun Aminah (TUTA).

“Pemeriksaan di dalam kereta dan rumah itu membawa kepada penemuan pelbagai peralatan disyaki digunakan untuk kegiatan pecah rumah.

“Turut ditemui dalam rumah berkenaan, satu beg galas berwarna kelabu atau hijau mengandungi satu lesen memandu atas nama seorang individu dan hasil siasatan mendapati, ia bersabit kes samun berkumpulan di Kulai.

“Selain itu, kami menemui pelbagai jenis beg tangan dan beg duit bersama mata wang China sebanyak 40 Yuan,” katanya.

Mohd Taib berkata, semakan kad pengenalan milik ketiga-tiga suspek mendapati hanya suspek wanita mempunyai rekod dikehendaki polis bersabit kes dadah.

Susulan tangkapan tiga suspek itu, Mohd Taib berkata, pada 2.30 pagi tadi, dengan dipandu arah suspek wanita, polis menyerbu sebuah rumah di Kampung Kempas Baru, Tampoi, Johor Bahru dan menahan dua lelaki berusia 41 dan 43 tahun.

“Kami turut merampas kereta Proton Iswara di kawasan berhampiran bagi membantu siasatan.

“Hasil semakan mendapati, suspek lelaki berusia 41 tahun itu mempunyai rekod dikehendaki bersabit kes dadah,” katanya.

Mohd Taib berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan (KK), Seksyen 379A KK, Seksyen 395/397 KK dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 9:27 PM