Wan Rahim sebelum ini pernah menafikan Nik Omar menyertai PAN.
Sharifah Mahsinah Abdullah
sharifah@nstp.com.my

TEKA-TEKI sama ada anak Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat iaitu Nik Omar akan bertanding di bawah tiket Parti Amanah Negara (PAN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dijangka diketahui esok.

Pengerusi PAN Kelantan Wan Abdul Rahim Wan Abdullah berkata, kini `perbincangan’ berhubung perkara itu masih berlangsung.

Katanya, setakat ini khabar angin yang bertiup sejak kebelakangan ini yang mengatakan anak bekas Menteri Besar Kelantan dan Mursyidul Am PAS itu akan bertanding di bawah tiket PAN masih tidak sahih.

“Setakat yang kami maklum, Husam Musa yang juga Naib Presiden sudah membuat tawaran terbuka kepada Nik Omar untuk bertanding dalam beberapa majlis yang berlangsung di negeri ini sejak tahun lalu.

“Tawaran itu tidak pernah ‘ditarik balik’ oleh Husam. Oleh itu, sekarang ini sedang berlangsung perbincangan dengan Nik Omar dan keluarganya. Keputusan dijangka diketahui esok,” katanya dalam sidang media di Kota Bharu, hari ini.

Desas-desus mengenai abang kepada Ahli Parlimen Pasir Mas Nik Mohamad Abduh itu bertanding di bawah tiket PAN bertiup kencang sejak akhir-akhir ini.

Bagaimanapun, kerusi mana akan ditandinginya masih menjadi tanda tanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Abdul Rahim mengesahkan Husam yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Salor akan turut bertanding merebut kerusi Parlimen Kota Bharu dan dijangka berdepan penyandang Datuk Takiyuddin Hassan.

“Husam mencabar Takiyuddin untuk bertanding di kerusi itu dan beliau berharap Takiyuddin akan menerima tawaran itu.

“Jika kedua-dua mereka terbabit dalam pertandingan tiga penjuru termasuk bakal berdepan calon Barisan Nasional Fikran Hamshi Mohamad Fatmi yang juga anak kepada Ketua UMNO Bahagian Kota Bharu, pertandingan ini akan bertambah menarik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 5:40 PM