NAJIB dan Musa menyaksikan pertunjukan aset tentera laut di Pangkalan Laut Tun Sharifah Rodziah di perairan ESSZONE.
Poliana Ronnie Sidom
poliana@nstp.com.my


Sandakan: Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) menghargai komitmen kerajaan negeri dan Persekutuan yang sentiasa memberi keutamaan terhadap isu keselamatan di negeri ini, menerusi penyediaan peruntukan dan sokongan dalam pelbagai aspek berkaitan demi menjamin ketenteraman di timur Sabah.


ANGGOTA keselamatan mengadakan kawalan di kawasan tumpuan pelancong.

Ini termasuk peruntukan RM250 juta dalam Bajet 2018 oleh kerajaan Pusat untuk mengukuhkan kawalan keselamatan di perairan, selain penambahan anggota di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE), penyediaan aset dan kelengkapan keselamatan termasuk radar, kapal ronda serta aset udara di Lahad Datu.

Komander ESSCOM, Datuk Hazani Ghazali berkata, komitmen tinggi Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan sokongan penuh Ketua Menteri, Tan Sri Musa Aman dalam aspek keselamatan membolehkan pelbagai langkah dilakukan pasukan keselamatan hingga terbukti tiada lagi kes penculikan sejak lebih setahun lalu.


ASET dikerah oleh ESSCOM memantau perairan ESSZONE.

Katanya, antara strategi ESSCOM untuk terus mengukuhkan keselamatan di timur Sabah ialah menerusi Ops Gasak dan Ops Bersepadu yang menjadi usaha serampang dua mata untuk menangkap pendatang asing tanpa izin (PATI), sambil mengesan suspek penjenayah.

“Kedua-dua operasi itu diperkemas dan dipergiatkan sejak Januari tahun lalu bagi mempertingkatkan lagi kawalan keselamatan di ESSZONE yang mana ia sebahagian aktiviti ESSCOM untuk mencapai visi menjaga dan mengekalkan ketenteraman serta keselamatan.

“Biarpun tiada lagi penculikan sehingga kini, Ops Gasak dan Ops Bersepadu akan terus dipertingkat dengan sasaran utama membasmi PATI dan kegiatan penyeludupan kerana ESSZONE masih terdedah kepada penjenayah rentas sempadan dari negara jiran,” katanya.

Berdasarkan statistik, 504 Ops Bersepadu dilaksanakan ESSCOM sepanjang tahun lalu di ESSZONE yang merangkumi 10 daerah iaitu Lahad Datu, Tawau, Semporna, Sandakan, Kunak, Kudat, Kota Marudu, Pitas, Beluran dan Kinabatangan. Dalam operasi itu, 1,538 ditangkap daripada 69,680 orang yang diperiksa.

Dalam perkembangan berkaitan, Hazani berkata, dua helikopter tempur jenis McDonnell Douglas (MD) yang bakal ditempatkan di Pangkalan Operasi Hadapan (POH) Helikopter Lahad Datu berupaya membantu meningkatkan lagi tahap kesiapsiagaan tempur pasukan keselamatan.

Katanya, aset itu yang dijangka diterima dalam waktu terdekat akan mempercepatkan tindakan pasukan keselamatan mengekang kemasukan penjenayah rentas sempadan.

“Kami memang ada aset udara yang ditempatkan di ESSZONE ketika ini, cuma jika ada helikopter tempur ini ia mempercepatkan tindakan mengekang penjenayah rentas sempadan termasuk pengganas apabila radar mengesan kemasukan mereka.

“Berdasarkan pengalaman, apabila berlaku cubaan masuk penjenayah rentas sempadan tahun lalu, penjenayah lari semula ke perairan negara jiran sebaik melihat helikopter berlegar-legar di kawasan perairan terbabit,” katanya.

Nelayan tidak lagi bimbang turun ke laut

Golongan nelayan beroperasi di Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) tidak lagi bimbang turun ke laut selepas pelbagai usaha memerangi jenayah rentas sempadan dilaksanakan kerajaan, khususnya pasukan keselamatan diselaras Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Pengerusi Persatuan Nelayan Negeri Sabah (PENGASAH), Datuk Arsit Sedi berkata, sejak setahun lalu tiada aduan diterima pihaknya berhubung kebimbangan nelayan terhadap aktiviti rompakan dan penculikan menyasarkan nelayan.


NELAYAN rasa selamat dengan pemasangan sistem AIS.

Katanya, satu dari insiatif ESSCOM yang mewajibkan nelayan memasang Sistem Pemantauan Automatik (AIS) pada bot nelayan menambahkan lagi keyakinan mereka terhadap keupayaan pasukan keselamatan menjamin keselamatan masyarakat nelayan ketika berada di laut.

“Ada ratusan perahu dan kapal kecil nelayan beroperasi di perairan ESSZONE di bawah 25 batu nautika. Berdasarkan maklum balas mereka, sebahagian besar mengatakan tidak lagi bimbang ketika menangkap ikan kerana ada sistem AIS.

“Ada nelayan tidak memasang AIS mungkin bimbang dikesan menangkap ikan di kawasan larangan,” katanya.

Pada awal 2016, kumpulan penculik dilaporkan mula menukar modus operandi dengan menyasarkan bot tunda dan kapal nelayan, dipercayai kerana mereka sasaran mudah berbanding kawasan daratan.

Sepanjang 2016, 12 kru kapal tunda dan pekerja bot ikan menjadi sasaran penculik dari selatan Filipina.

Ia membabitkan empat kru kapal tunda dari Sarawak yang diculik lapan lelaki bersenjata di perairan Ligitan berhampiran Semporna pada 1 April.

Kemudian tiga pekerja bot ikan warga Indonesia diculik lima lelaki bersenjata di perairan Sahabat 16, Lahad Datu pada 9 Julai lalu, manakala lima kru kapal tunda warga Malaysia Serudong 3 diculik di perairan Dent Heaven di Lahad Datu, ketika perjalanan ke Semporna selepas menghantar pasir di Sandakan pada 18 Julai.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Sandakan, Asmaul Gindong berkata, nelayan menghargai usaha kerajaan khususnya ESSCOM yang mengambil pelbagai inisiatif keselamatan.

“Tiada lagi rungutan nelayan sejak tahun lalu. Selain perintah berkurung, nelayan rasa selamat di laut dengan kehadiran berterusan pasukan keselamatan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 6:40 AM