MOHAMAD Sabu (tengah) bersama barisan calon PAN pada majlis pengumuman kerusi DUN dan Parlimen sempena PRU14, malam tadi. FOTO Amran Hamid
Suzalina Halid dan Aizat Shariff
cnews@nstp.com.my


BEKAS Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar akan mempertahankan kerusi Parlimen Pokok Sena di atas tiket Parti Amanah Negara (PAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Mahfuz yang meninggalkan PAS pada tahun lalu dijangka akan berdepan dengan pertandingan tiga penjuru membabitkan bekas parti diwakilinya dan Barisan Nasional (BN).

Pencalonan Mahfuz diumumkan oleh Presiden PAN Mohamad Sabu pada majlis pengumuman calon parti itu di Kedah membabitkan tiga kerusi Parlimen iaitu Padang Terap, Pokok Sena dan Sik, selain 10 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) negeri ini.

Sementara itu, bekas Exco kerajaan negeri PAS sebelum ini, Datuk Phahrolrazi Mohd Zawawi tidak mempertahankan kerusi DUN Pengkalan Kundor yang disandangnya sejak pada 1999, 2008 dan 2013, apabila bertukar ke kerusi DUN Alor Mengkudu.

Kerusinya akan ditandingi oleh Pengerusi PAN Kedah yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Alor Mengkudu, Datuk Dr Ismail Salleh.

Dua lagi kerusi Parlimen membabitkan Padang Terap bakal ditandingi Naib Ketua Pemuda PAN Kedah Mohd Khairizal Khazali manakala di Sik, akan ditandingi oleh ahli Jawatankuasa Pimpinan PAN Sik, Azli Che Uda.

Manakala bagi lapan kerusi DUN lain ialah Kota Siputeh (Naib Pengerusi PAN Kedah Dr Salmee Said), Kubang Rotan (Jawatankuasa Pimpinan Pemuda PAN Nasional Mohd Asmirul Anuar Aris) dan Tokai (bekas Ahli Parlimen Jerai Mohd Firdaus Jaafar).

Lain-lain kerusi DUN Kedah yang akan ditandingi PAN adalah Sungai Limau (Zahran Abdullah), Belantek (Abdul Rashid Abdullah), Pantai Merdeka (Pengarah Hal Ehwal Syariah PAN Kedah Rosli Yusof), Kupang (Naib Pengerusi Tiga PAN Kedah Johari Abdullah) dan Merbau Pulas (Abd Razak Salleh).

Dengan pengumuman itu, PAN dijangka akan bertarung dalam pertandingan tiga penjuru di kesemua kerusi terbabit menentang PAS dan BN pada PRU-14 ini.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 13 April 2018 @ 12:37 AM