AADK Perlis menahan seorang pemuda berusia awal 20 tahun (baju putih) di rumah keluarganya di Santan dalam Ops Aduan 26-28/2018 AADK Perlis Utara malam tadi. FOTO Ihsan AADK
Dziyaul Afnan Abdul Rahman
cnews@nstp.com.my


SUAMI isteri berusia awal 50-an dari Santan, Padang Besar, terkilan selepas mengetahui anak lelaki mereka menagih dadah jenis methamphetamine ketika ditahan penguatkuasa Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perlis, semalam.

Malah anak lelaki mereka yang berusia awal 20-an itu sebelum ini pernah ditahan atas kesalahan sama dan pasangan terbabit hanya mengetahuinya selepas dimaklumkan AADK negeri ketika penahanan dilakukan di kediaman pasangan itu.

Dia antara lapan orang yang ditahan berusia 16 hingga 50 tahun dalam operasi dijalankan bermula 8 pagi hingga 3 pagi ini.

Jurucakap AADK Perlis ketika dihubungi berkata, penahanan pemuda terbabit dilakukan pada 10 malam.

"Operasi malam semalam mensasarkan beberapa kawasan 'panas' di sekitar daerah ini di samping memantau OKP (orang kena pantau) sama ada mereka masih terjebak dalam jenayah najis dadah.

"Ketika ditahan, pemuda terbabit sedang melepak bersama dua lagi rakannya di hadapan rumah," katanya.

Menurutnya, pemuda terbabit bijak menyembunyikan aktivitinya itu daripada pengetahuan ibu bapanya.

"Pihak kami difahamkan rumah pasangan terbabit dijadikan sarang penagihan dadah anak lelaki mereka bersama rakannya itu.

"Malah dia dipercayai melakukan aktiviti terbabit ketika ibu bapanya tiada di rumah," katanya.

Jurucakap itu berkata, selepas ujian air kencing dilakukan ke atas mereka bertiga, didapati dua positif syabu manakala seorang lagi negatif.

"Suspek disiasat mengikut Seksyen 6(2)(c) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 dan Seksyen 6(2)(d) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 12 April 2018 @ 6:14 PM