Aminolhuda (dua kanan) dan Salahuddin (dua kiri) pada sidang media pengumuman calon PAN Johor di Batu Pahat. FOTO Essa Abu Yamin
Mohamad Fahd Rahmat
fahd@nstp.com.my

PARTI Amanah Negara (PAN) Johor mempertaruhkan 13 calon untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).

Pengerusi PAN Johor Aminolhuda Hassan yang juga penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Yaani berkata, semua 13 calon akan bertanding di 12 kerusi DUN dan Parlimen.

Beliau berkata, senarai akhir calon itu mendapat restu daripada PAN pusat pada 7 April lalu dan mereka sudah diberikan nasihat guaman mengenai proses pilihan raya termasuk pengisian borang dan penamaan calon mengikut peraturan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) semalam.

“Kami sudah mengadakan pertemuan dan memberikan beberapa taklimat gerak kerja serta hal-hal berkaitan, Alhamdulillah kami berjanji dengan semua pemimpin peringkat pusat, ketua kawasan, pengarah pilihan raya, ketua pemuda, ketua wanita kesediaan menjadi calon serta bertanggungjawab kepada parti.

“Kami hanya bertanding di dua kerusi Parlimen iaitu Pulai oleh Timbalan Presiden Salahuddin Ayub dan Parit Sulong oleh Ketua Wanita Muda, Anis Afida Mohd Azli.

“Manakala Setiausaha PAN Suhaizan Kaiat yang juga Naib Ketua PAN Johor bertanding di DUN Kukup, saya kekal di Parit Yaani, Timbalan PAN Johor Dzulkefly Ahmad bertanding di Kota Iskandar iaitu nama baru menggantikan Nusa Jaya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media khas pengumuman calon PAN Johor untuk PRU-14 di Batu Pahat hari ini.

Menurutnya, Naib Ketua PAN Johor Dr Sulaiman Mohd Nor bertanding di DUN Kemelah, Setiausaha Negeri Johor, Ir Khairuddin A Rahim (Senggarang), Ketua Pemuda Taqiuddin Cheman (Pulai Sebatang), Naib Ketua Wanita, Nor Hayati Bachok (Maharani), ahli jawatankuasa negeri, Abrary Ramly (Pasir Raja), Ahmad Kamal Nor (Penawar), Muhamad Said Jonit (Mahkota), Ir Dr Faizul Amri Adnan (Serom).

Sementara itu, Salahuddin berkata, pihaknya yakin calon pakatan pembangkang Johor terdiri daripada golongan profesional dan berintergriti mampu mentadbir negeri itu.

“Kita ada pasukan yang kuat, berkelayakan, berintergriti dan kami percaya mereka boleh diberikan kepercayaan mengurus tadbir Johor dan paling penting, kami sudah menapis semua calon lebih awal supaya tidak mengulangi ‘team’ rasuah Johor apabila exco terbabit dengan rasuah. Jadi pasukan khusus daripada PAN ini sudah ambil tanggungjawab kerana kita mahu melawan.

“Pasukan ini kita berani kemukakan sama ada untuk PAN dan pakatan, ini adalah satu gambar atau poster yang akan dinaikkan dan kita sudah pancarkan pada malam ketika Tun Dr Mahathir Mohamad berada di Pasir Gudang.

“Kami keluar sebagai satu pasukan, apa yang kami persoalkan sekarang mana ‘team’ Johor, satu Johor sekarang ini gambar Khaled (Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin) seorang, pergi mana pun dia tidak berani tampilkan nama ‘team’ Johor tetapi hanya satu orang,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 5:09 PM