PETUGAS pejabat Daerah Kepala Batas memunggah barang keperluan untuk PRU14 dari pejabat SPR di Jalan Pengkalan Weld, semalam.
Zanariah Abd Mutalib
zanariah_mutalib@nstp.com.my


Putrajaya: Berikutan hari pengundian yang jatuh pada 9 Mei depan, AirAsia menawarkan pengecualian caj penukaran penerbangan bagi tempahan yang dikeluarkan di Malaysia yang jatuh pada hari itu.

AirAsia dalam kenyataan berkata, tawaran itu hanya sah kepada warganegara Malaysia dan mesti dibuat dalam tempoh 10 hari daripada pengumuman tarikh mengundi oleh Suruhanjaya Pilihan Raya Malaysia (SPR).

Menurutnya, penumpang boleh memilih satu daripada tawaran yang disediakan syarikat penerbangan tambah murah itu iaitu Tukar Penerbangan atau Akaun Kredit.

“Bagi pilihan Tukar Penerbangan, penumpang perlu membuat satu penukaran tarikh untuk semua tempahan tanpa caj tambahan penukaran penerbangan bagi menangguhkan perjalanan hingga 30 hari daripada tarikh perjalanan asal, tertakluk kepada ketersediaan tempat duduk dan perbezaan tambang atau cukai.

“Bagi pilihan Akaun Kredit, penumpang boleh mengekalkan nilai tambang dalam akaun Ahli AirAsia BIG untuk perjalanan masa akan datang dengan AirAsia dan ditebus dalam masa 90 hari kalendar bermula daripada tarikh yang dikreditkan,” katanya.

SPR semalam menetapkan tarikh pengundian PRU14 pada 9 Mei manakala hari penamaan calon pada 28 April.

AirAsia berkata, penumpang yang ingin menukar tarikh penerbangan atau menerima akaun kredit perlu mengisi e-Borang yang boleh didapati di laman support.airasia.com.

Sementara itu, Malaysia Aviation Group (MAG) turut menawarkan pengecualian caj penukaran penerbangan bagi tempahan Malaysia Airlines, Firefly dan MASwings untuk tarikh sama.

MAG berkata, ia bagi membolehkan rakyat Malaysia untuk menunaikan tanggungjawab masing-masing sebagai pengundi.

Katanya, pengecualian itu merangkumi semua jenis tiket yang tarikh perjalanan jatuh antara 8 Mei hingga 10 Mei 2018.

“Hanya satu perubahan yang dibenarkan dan ia perlu dilakukan dalam tempoh 10 hari bermula hari ini (semalam).

“Penumpang dibenarkan untuk menangguh perjalanan masing-masing hingga tempoh dua bulan daripada tarikh penerbangan asal,” katanya.

Mengulas lanjut, MAG berkata, semua tambang dan surcaj bermusim dikenakan mengikut peraturan tambang tiket penerbangan yang dibeli.

Pelanggan boleh melakukan perubahan tempahan di pejabat tiket penerbangan masing-masing atau menghubungi pusat perkhidmatan Malaysia Airlines dan MASwings di talian 1300883000 atau pusat perkhidmatan Firefly di talian 03-78454543.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 11 April 2018 @ 9:09 AM