Wartawan NSTP
cnews@nstp.com.my


KERAJAAN Barisan Nasional (BN) akan memperkenalkan Tawaran Orang Muda khusus membantu golongan di bawah usia 30 tahun untuk mendapatkan pekerjaan atau latihan dalam masa enam bulan selepas mendaftar dengan sistem itu.

Tawaran Orang Muda yang diperkenalkan melalui Jaminan 1: Jaminan Orang Muda bukan hanya retorik kosong, sebaliknya ia bakal dicapai melalui enam program inisiatif.

Ia membabitkan Skim Latihan 1Malaysia 2.0 (SL1M 2.0), MyApprenticeship, MyInternship, Pekerjaan Melalui Projek Infrastruktur, Bootcamp Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) Negara dan Pekerjaan Keusahawanan Sosial.

Program SL1M 2.0 adalah khusus untuk memadankan penuntut universiti dan bakal majikan di peringkat lebih awal, manakala MyApprenticeship pula menawarkan laluan alternatif baru untuk belia lepasan sekolah yang ingin terus ‘bekerja sambil berlatih’ dalam lima industri utama.


GAMBAR hiasan

Seterusnya, program MyInternship akan diperkenalkan untuk memastikan setiap pelajar universiti awam mempunyai kemahiran Microsoft Office tahap tinggi dan latihan industri yang berkualiti.

Melalui program Bootcamp TVET Negara pula, kerajaan BN akan menambah tempat latihan TVET melalui kursus pendek diikuti dengan pemadanan pekerjaan terus dengan majikan.

Selain itu, program Pekerjaan Melalui Projek Infrastruktur pula akan diwujudkan untuk mencipta peluang pekerjaan dan memadankan orang muda dengan projek infrastruktur mega negara.

Untuk inisiatif terakhir, kerajaan akan memperkenalkan program Pekerjaan Keusahawanan Sosial sebagai insentif untuk usahawan sosial mencipta lebih banyak peluang pekerjaan.

Kerajaan menjamin Tawaran Orang Muda menjadi platform terbaik golongan muda di negara ini untuk mencapai impian dalam kerjaya masing-masing.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 10 April 2018 @ 9:32 PM