Veena Babulal dan Syalikha Sazili
cnews@nstp.com.my

DAP menggugurkan Ahli Parlimen Kepong, Dr Tan Seng Giaw, 75, dan menamakan Lim Lip Eng sebagai calon baru di kawasan berkenaan untuk bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Ini sekali gus menamatkan spekulasi mengenai Tan yang sering lantang mengkritik kepimpinan Lim Guan Eng di Pulau Pinang, berkenaan isu alam sekitar dalam meluluskan projek pembangunan selain isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB).

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, calon baru adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Hannah Yeoh yang akan bertanding di kerusi Segambut.

Katanya Tan Kok Wai, Fong Kui Lun dan Teresa Kok akan kekal di kerusi masing-masing iaitu Cheras, Bukit Bintang dan Seputeh.


Lim (enam kiri) bersama sebahagian kepimpinan tertinggi DAP di Dewan Sivik MBPJ. FOTO Luqman Hakim Zubir

"Ini kali pertama pihak pembangkang mencapai kesepakatan bersama dan bersetuju untuk menggunakan logo Pakatan Harapan bagi PRU-14.

"Kita rehatkan ‘roket’ buat sementara kerana ini saja cara untuk tawan Putrajaya," katanya pada pengumuman calon Parlimen Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di Dewan Sivik Majlis Perbandaran Petaling Jaya, hari ini.

Turut hadir, Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang, Pengerusi Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai dan Timbalan Pengerusi Kebangsaan DAP, Gobind Singh Deo.

Sementara itu, Tan berkata DAP akur terhadap keputusan menggunakan logo PKR pada PRU- 14 memandangkan logo terbabit juga diketahui umum.

"Kita tiada pilihan selain akur terhadap keputusan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 10:56 PM