Nor Fazlina Abdul Rahim
nfazlina@nstp.com.my


SINDIKET pecah rumah dan ragut dipercayai mendalangi sekurang-kurangnya lebih 20 kes sejak Januari lalu, akhirnya tumpas selepas tujuh anggota kumpulan terbabit ditahan.

Kumpulan dikenali sebagai Geng Pok Chek itu dikesan terbabit dalam sembilan kes samun dan ragut di Kota Bharu, lima kes masing-masing di Pasir Mas dan Tanah Meras serta satu kes di Kuala Krai.

Kegiatan licik mereka akhirnya tumpas selepas dua lelaki termasuk ketua kumpulan ditahan jam 3 pagi Jumaat lalu di Wakaf Bharu, Kota Bharu.

Timbalan Ketua Polis Kelantan Datuk Din Ahmad berkata, susulan tangkapan berkenaan membawa kepada lima lagi tangkapan ahli kumpulan itu termasuk seorang wanita pada Sabtu lalu di sekitar Kota Bharu.

Beliau berkata, menerusi tangkapan tujuh suspek berusia 31 hingga 38 tahun itu, pihaknya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 20 kes pecah rumah dan ragut di Kelantan.

“Kegiatan kumpulan berkenaan cukup terancang dan modus operandi mereka dengan menyasarkan warga emas yang tinggal bersendirian.

“Kumpulan berkenaan akan menyamar dan kononnya bertanya arah jalan kepada mangsa sebelum melakukan jenayah,” katanya pada sidang media, hari ini.


DIN bersama pegawainya menunjukkan kereta dirampas daripada Geng Pok Chek pada sidang media di IPK Kelantan di Kota Bharu, hari ini. FOTO Syamsi Suhaimi

Din berkata, menerusi tangkapan itu, pihaknya merampas tiga kereta iaitu Perodua Alza, Honda City, Proton Waja dan lima telefon bimbit serta barang kemas yang dianggarkan bernilai lebih RM200,000.

Dalam kes berlainan, Din berkata, pihaknya menahan tiga lelaki dipercayai terbabit dalam pengedaran dadah di tiga lokasi berasingan iaitu Pasir Puteh, Pasir Mas dan Rantau Panjang.

Katanya, menerusi tangkapan semua suspek berusia 28 dan 44 tahun, pihaknya merampas pil kuda bernilai RM46,000.

“Siasatan mendapati suspek mengaku terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah di daerah berkenaan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B dan 39A Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 9 April 2018 @ 5:23 PM