ABDUL Rahman (kanan) bersama Hazmi (dua kanan) melawat kawasan Mural Perangi Dadah selepas Pelancaran Lukisan Mural Program My Beautiful City Bandar Sejahtera di Jalan Datuk Pati, Kota Bharu, hari ini. FOTO Nik Abdullah Nik Omar
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


AGENSI Anti Dadah Kebangsaan (AADK) akan menghapuskan 178 kawasan berisiko dadah di negara ini dalam usaha mengekang masalah penagihan.

Pengarah Bahagian Pencegahan AADK Abdul Rahman Hamid berkata, pemusnahan kawasan berisiko itu akan menyelesaikan sebanyak 70 peratus masalah dadah di negara ini.

Beliau berkata, masalah dadah berlaku di kawasan berkenaan iaitu di hutan, semak dan rumah terbiar serta 30 peratus lagi di luar lokasi berkenaan.

“Kami akan memusnahkan kawasan dadah menerusi kempen Perangi Dadah Habis-Habisan bagi menghapuskan masalah dadah di negara ini.

“AADK menyeru masyarakat supaya memberi kerjasama dengan kami dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) untuk mengekang masalah dadah.

“Dalam tempoh dua tahun sehingga tahun lalu, kami berjaya memusnahkan 2,000 kawasan berisiko dadah di seluruh negara termasuk 30 di Kelantan,” katanya ketika ditemui selepas Pelancaran Lukisan Mural Program My Beautiful City Bandar Sejahtera, Kota Bharu, hari ini.

Turut hadir, Pengarah AADK Kelantan Rohayu Ahmad, Penolong Pengarah Penguatkuasaannya Aman Mustapha serta Setiausaha Majlis Perbandaran Kota Bharu (MPKB), Hazmi Abd Hamid.

Abdul Rahman berkata, masalah dadah amat serius kerana 57 peratus banduan berada di penjara akibat gejala tidak sihat itu.

Beliau berkata, lukisan mural perangi dadah dapat memberi kesedaran kepada masyarakat untuk sama-sama membanteras masalah penyalahgunaan dan penagihan dadah di negara ini.

Menurutnya, AADK mengarahkan semua negeri membuat lukisan mural perangi dadah bagi menyampaikan mesej kepada masyarakat berhubung bahaya dadah.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 10:23 PM