LAPORAN portal berita Harian Metro, semalam.
Farah Suhaidah Othman
cnews@nstp.com.my


TIGA kesan tembakan ditemui di bahagian kepala, dada dan perut mayat lelaki yang ditemui di kawasan Ladang Sungai Rui, Ban Pasir, Jalan Gerik-Kupang, Gerik semalam.

Dalam kejadian 4 petang itu, mayat mangsa Kamarulzaman Safri, 38 ditemui orang awam dalam keadaan lengkap berpakaian.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Perak, Senior Asisten Komisioner Yahya Abd Rahman berkata, mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) malam tadi untuk bedah siasat.

Beliau berkata, hasil bedah siasat mendapati mangsa mati akibat tembakan di bahagian kepala.

“Bagaimanapun, siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Semalam, NSTP melaporkan hasil pemeriksaan di lokasi kejadian menemui tiga kelongsong dan sebuah motosikal berkuasa tinggi Kawasaki berhampiran mayat mangsa.

Berita berkaitan

'Kesan tembakan pada mayat lelaki'

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 6:25 PM