MAT Nawi bersama isteri, Sabariah Mamat melihat akhbar melaporkan mengenai Mohd Sazarim dan Nur Anisa yang maut dalam kemalangan di Jalan Salor Baru sambil diperhatikan Muhamad Amin Syahiran dan Muhamad Anas Akil di rumah mereka di Kampung Sat Hulu, Tanah Merah.
Muhamaad Razis Ismail
razis@nstp.com.my

Kota Bharu: “Biarpun sudah hampir sebulan kejadian, hingga hari ini saya tidak mampu cerita perkara sebenar,” kata Mat Nawi Salleh, datuk kepada dua kanak-kanak yang menjadi yatim piatu selepas ibu bapa mereka maut dalam kemalangan jalan raya, bulan lalu.

Muhamad Amin Syahiran, 4, dan Muhamad Anas Akil, setahun, menjadi yatim piatu sekelip mata selepas ibu bapa mereka, Mohd Sazarim Mat Nawi, 31, dan Nur Annisa Ismail, 27, yang hamil dua bulan maut dalam kemalangan di Jalan Salor Baru, Kota Bharu, 12 Mac lalu.

Dalam kejadian jam 4.15 pagi, kereta Perodua Kancil dinaiki pasangan itu yang dalam perjalanan dari Kota Bharu ke Tanah Merah hilang kawalan sebelum bertembung dengan Proton Waja di laluan bertentangan.

Pemandu Proton Waja berusia 44 tahun yang cedera pula dikejarkan ke Hospital Pasir Mas untuk rawatan lanjut.

Mat Nawi, 62, berkata, selepas kejadian itu, Muhamad Amin pernah beberapa kali bertanya mengenai ibu bapanya.

“Saya tidak sampai hati dan tidak tahu bagaimana nak ceritakan perkara sebenar kepada cucu yang masih kecil.

“Apabila ditanya saya mampu menjawab ibu bapanya keluar bekerja. Apapun saya akan ceritakan perkara sebenar apabila mereka sudah besar nanti,” katanya ketika dihubungi semalam.


LAPORAN muka depan Harian Metro, 13 Mac lalu.

Menurutnya, selepas kemalangan itu pelbagai pihak menghulurkan bantuan termasuk Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) serta Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).

“JKM menyediakan bantuan bulanan RM200 kepada dua beradik ini dan saya turut dihubungi MAIK untuk mendapatkan butiran peribadi saya dan cucu.

“Alhamdulillah bantuan ini banyak membantu meringankan beban saya untuk menyara dua cucu yang masih kecil,” katanya.

Akhbar NSTP melaporkan pasangan itu dalam perjalanan pulang selepas mengambil bekalan sayur di Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC) Tunjong di sini untuk berniaga di Pasar Tanah Merah.

Bagaimanapun, apabila tiba di lokasi kejadian, Perodua Kancil terbabit dikatakan hilang kawalan dan terbabas ke laluan bertentangan sebelum bertembung dengan Proton Waja.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 8 April 2018 @ 6:13 AM