ORANG ramai melakukan semakan cukai pendapatan di Ibu Pejabat Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), di Jalan Duta. FOTO ARKIB Khairull Azry Bidin.
Shahrizan Salian dan Farah Adilla
cnews@nstp.com.my


DALAM usaha merancakkan pertumbuhan ekonomi negara, manifesto Barisan Nasional (BN) menjanjikan semakan semula kadar cukai pendapatan individu dan korporat bagi memastikan Malaysia kekal kompetitif di pasaran serantau.

Ia selepas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak pada pembentangan Bajet 2018 tahun lalu mengumumkan kadar cukai pendapatan individu pemastautin dikurangkan dua peratus bagi banjaran pendapatan bercukai dari RM20,000 sehingga RM70,000.

Penurunan itu dinikmati golongan berpendapatan rendah iaitu M40 atau isi rumah yang berpendapatan di bawah RM9,000 ke bawah.

Sementara itu, kadar cukai untuk banjaran pendapatan bercukai RM20,001-RM35,000 turun daripada lima peratus kepada tiga peratus, dan RM35,001-RM50,000 pula turun kepada lapan peratus.

Bagi banjaran pendapatan bercukai dari RM50,001-RM70,000, kadar cukai diturunkan daripada 16 peratus kepada 14 peratus.

Bagi cukai korporat pula, kadar semasa yang dikenakan kepada syarikat dengan modal berbayar tidak melebihi RM2.5 juta adalah 18 peratus bagi RM500,000 yang pertama dan 24 peratus bagi baki seterusnya, manakala kadar semasa syarikat dengan modal berbayar melebihi RM2.5 juta adalah 24 peratus.

Manifesto juga akan menjamin daya tahan ekonomi tempatan akan diperkukuhkan.

Justeru, pembabitan Malaysia yang proaktif di dalam bidang ekonomi baru akan terus diperkasakan.

Justeru, antara komitmen Barisan Nasional dalam aspek ekonomi bagi tempoh lima tahun akan datang termasuk:

* Mewujudkan sejuta usahawan digital dalam tempoh lima tahun

*Memacu negara ke arah Revolusi Industri 4.0 untuk mencerakin data besar dalam perencanaan dasar awam dan menentukan halatuju teknologi tuntas.

* Merealisasikan sasaran sumbangan ekonomi digital sebanyak 25 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menjelang 2023.

* Menyemarak industri berteknologi tinggi melalui peningkatan pelaburan langsung asing dalam sektor tertumpu untuk mencipta lebih banyak pekerjaan berkemahiran tinggi.

* Mempertingkat produktiviti usahawan, pereka baru dan syarikat pemulaan dengan penubuhan pelbagai agensi fasilitasi seperti PlatCOM.

* Memacu dasar Ekonomi Hutan berteraskan pengurusan mampan untuk menjana pendapatan melalui aktiviti hiliran, industri perubatan, ekopelancongan dan produk berasaskan sumber semulajadi.

* Memperluas amalan waktu kerja fleksibel di sektor awam dan menawarkan insentif kepada syarikat yang mengadaptasi sistem berkenaan.

* Memperkukuh pencapaian keseluruhan ekonomi negara di mana agihan pampasan pekerja kepada KDNK setinggi 40 peratus.

* Menyasarkan sektor perkhidmatan untuk menyumbang sebanyak 60 peratus KDNK

* Mempertingkatkan perbelanjaan kasar negara untuk ikhtiar penyelidikan dan pembangunan (R&D) kepada tiga peratus.

*Mengurangkan defisit fiskal dan nisbah hutang kepada KDNK untuk menambahbaik kedudukan penarafan kredit antarabangsa negara.

*Menderaskan pertumbuhan sektor hiliran industri minyak dan gas bagi mewujudkan lebih peluang kepada negeri pengeluar minyak.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 10:05 PM