DR Mat Sani bersama pengunjung pada majlis pelancaran JBD di ABR1M, Taman Dato Senu, semalam.
Asmah Rusman
cnews@nstp.com.my


Kuala Lumpur: Jimat antara RM5 dan RM20 seminggu jika berbelanja RM100 di pasar tani dan outlet Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).

Penjimatan itu dinikmati menerusi program memperkasakan Jimat Belanja Dapur (JBD) yang memberi peluang kepada pengguna mendapatkan barangan keperluan harian pada harga lebih rendah.

Pemangku Timbalan Ketua Pengarah (Pembangunan Usahawan) FAMA Datuk Dr Mat Sani Hassan berkata, program JBD dilaksanakan di 2,100 outlet seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak membabitkan 27 barangan keperluan terpilih seperti ikan, ayam, sayur, barang runcit dan barang kawalan.

Beliau berkata, setakat ini JBD dilaksanakan di 718 outlet jualan pasar tani, 426 AgroBazaar Kedai Rakyat (AKR), 108 AgroBazaar Rakyat 1Malaysia (ABR1M), enam MyFarm Outlet dan menerusi Program MyBest Buy.

“Pengguna yang berbelanja di outlet terpilih menikmati potongan harga antara lima dan 20 peratus malah kadangkala sehingga mencecah 30 peratus bagi sesetengah barangan terpilih.

“Program JBD bertujuan membantu rakyat mendapatkan barangan keperluan pada harga lebih rendah daripada pasaran setempat sekali gus menangani kenaikan kos sara hidup,” katanya selepas melancarkan Program JBD di ABR1M Taman Dato Senu, Sentul di sini, semalam.

Pada majlis itu, Mat Sani turut menyampaikan replika cek kepada dua pemilik ABR1M yang menerima geran RM75,000 setiap seorang dan tiga pemilik gerai buah-buahan yang menerima RM15,000 setiap seorang.

Mat Sani berkata, JBD program langkah penjimatan perbelanjaan produk makanan terpilih yang berasaskan kepada penyaluran produk dari sumber pengeluaran terus kepada pengguna.

“Selain mendidik pengguna bijak berbelanja, ia juga menggalakkan petani khususnya peserta Ladang Kontrak menjual secara terus kepada pengguna bagi mengurangkan lapisan pasaran dan menguasai nilai,” katanya.

JBD lanjutan program diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ketika lawatan kerja di Pasar Tani Putrajaya pada Januari 2014.

Dalam pembentangan Bajet 2018, Najib turut mengumumkan peruntukan RM50 juta bagi pelaksanaan program melalui FAMA dan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di bawah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 8:58 AM