ARFANANI bersama Subaru Forester yang dimenanginya.
HM Digital

Taiping: Seorang juruteknologi makmal tidak menyangka pembelian barang mainan anaknya bernilai RM31.46 hujung tahun lalu membolehkannya memenangi kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru Forester dalam peraduan MyDebit Menang Hadiah; Belanja Tanpa Tunai di sini.

Arfanani Abdul Rani, 38, membawa pulang Subaru Forester 2.0i bernilai RM120,000.

Menurut Arfanani yang menetap di Kuala Lumpur dan bekerja sebagai juruteknologi makmal perubatan di Pusat Darah Negara, dia bersyukur kerana memenangi hadiah itu.

“Saya tidak sedar pun menyertai peraduan ini kerana memang sering berbelanja di The Store menggunakan MyDebit.

“Lebih menarik saya menang dengan berbelanja RM31.46 saja untuk membeli mainan anak saya pada hujung tahun lalu,” katanya.

Peraduan dan pelbagai program anjuran Kumpulan The Store diadakan bagi menghargai pelanggan setianya.

Pelbagai hadiah menarik ditawarkan termasuk barangan elektrik.

Semalam Kumpulan The Store mengumumkan 32 pemenang membabitkan dua peraduan cabutan bertuah apabila pemenang membawa pulang kenderaan utiliti sukan (SUV) Subaru Forester dan Perodua Alza, Bezza serta Axia.

Turut memenangi peraduan itu Mohd Sobri Jusuh (TV LED 40 inci), Mohd Zurizuan Ali (peti sejuk) dan Zulkifli Mahmud (mesin basuh) selain 25 pemenang hadiah istimewa yang mendapat baucar tunai RM200 setiap seorang.

Hadiah peraduan yang diadakan secara kolaborasi bersama Payment Network Malaysia Sdn Bhd (PayNet) itu disampaikan Duta Kumpulan The Store, Adibah Noor dalam majlis diadakan di Pacific, Taiping Mall di sini semalam.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 7 April 2018 @ 8:56 AM