ANGGOTA bomba mengangkat mayat Syed Ariff yang ditemui lemas di Sungai Plus, Kampung Tok Bayas, Sungai Siput, hari ini. FOTO ihsan bomba
Shaarani Ismail
shaarani@nstp.com.my


BEKAS tentera ditemui lemas selepas dipercayai dihanyutkan arus deras ketika menjaring ikan di Sungai Plus, Kampung Tok Bayas, Sungai Siput, pagi semalam.

Mangsa, Syed Ariff Syed Abu Bakar, 42, dikatakan keluar menjaring sungai sejak 10 pagi semalam dengan meredah arus sungai terbabit.

Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri berkata, mayat mangsa ditemui 8.30 pagi tadi selepas gerakan mencari dan menyelamat mangsa mula digerakkan malam tadi.

Katanya, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sungai Siput dimaklumkan mengenai kejadian itu pada 9.41 malam dan kemudian bergegas ke lokasi kejadian bagi menjalankan kerja mencari.

“Pasukan yang tiba di lokasi kejadian kemudian diarahkan membuat kerja mencari dan menyelamat menggunakan bot dengan dibantu pasukan penyelam JBPM negeri.

“Mangsa dijumpai tidak jauh daripada lokasi dia dilihat kali terakhir dan seterusnya dibawa naik dan diserahkan kepada polis untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Beliau berkata, operasi tamat sepenuhnya pada 8.45 pagi tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 11:13 AM