SEBAHAGIAN pelajar daripada 11 sekolah bersama pengetua dan guru pada pelancaran Toyota Eco Youth 2018, semalam.
HM Digital

Subang Jaya: UMW Toyota Motor melancarkan Program Toyota Eco Youth 2018 (TEY) edisi ke-18 dengan penyertaan 11 sekolah dari seluruh negara dalam membantu pemuliharaan alam sekitar di negara ini.

Presidennya, K Ravindran berkata, matlamat utama program tanggungjawab sosial korporat (CSR) itu adalah untuk menerapkan amalan terbaik dalam pengurusan sisa buangan serta menangani masalah berkaitan isu pemeliharaan alam sekitar serta pengurangan pembebasan gas karbon dioksida.

“Peserta juga diberikan latihan selama tiga hari untuk mendedahkan mereka lapan langkah dan kaedah penyelesaian masalah yang diamalkan oleh Toyota (8 Step Toyota Problem Solving Methodology and Techniques).

“Bertemakan Pengurusan Sisa Buangan, program tahun ini memberi penekanan terhadap penyelarasan berkaitan bersama agensi kerajaan, masyarakat setempat dan kelompok kepentingan awam dengan meminimumkan sisa buangan untuk alam sekitar yang lebih baik,” katanya ketika majis pelancaran, semalam.

Toyota Eco Youth 2018 dijangka mengambil masa tiga bulan untuk diselesaikan dalam mengenal pasti projek, kerja kaji selidik dan aktiviti berkaitan penyelesaian dengan penilaian akhir akan dilakukan pada Ogos depan.

Sekolah yang terbabit dinilai secara berterusan bagi merebut hadiah wang tunai berjumlah RM10,000, RM7,000 dan RM5,000 untuk tempat pertama hingga ketiga serta RM1,000 untuk kategori lain.

“Komitmen berterusan kami terhadap Toyota Eco Youth menunjukkan betapa pentingnya pendidikan kepada pelajar bagi membolehkan mereka bersama-sama menggalas tanggungjawab memelihara alam sekitar secara berterusan,” katanya.

Toyota Eco Youth dianjurkan sebagai acara tahunan sejak 2001 mendapat kerjasama dan sokongan daripada Kementerian Pendidikan dengan kos RM7 juta yang berjaya dimanfaatkan 1,800 pelajar dalam mempromosikan alam sekitar.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 6 April 2018 @ 10:09 AM