GAMBAR hiasan
Nor Azura Abdul Jalil
zura_jalil@nstp.com.my


PUSAT pakar pergigian Imperial Dental Specialist Centre Sdn Bhd yang didakwa atas sembilan pertuduhan berhubung kematian menantu Timbalan Perdana Menteri, Datuk Syed Alman Zain Syed Alwi ketika menerima rawatan dua tahun lalu, diperintah membela diri oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur atas lima daripada pertuduhan itu.

Hakim Harmi Thamri Mohamad @ Shaharuddin memutuskan demikian terhadap pusat rawatan pergigian itu yang diwakili pengarah syarikatnya, Dr Wong Yen Ling selaku orang kena saman (OKS) selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie di akhir kes pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, OKS didakwa sebagai pemegang lesen gagal memastikan Noor Azima Muhamad Nuwi, 27, berkelayakan untuk menjalankan prosedur radiologi (orthopantomogram) ke atas Syed Alman Zain, 44.

Pertuduhan kedua dan ketiga, pusat pergigian itu didakwa masing-masing gagal menyimpan dan menyenggarakan suatu daftar kakitangan serta tidak menyediakan oksigen sebagai perkhidmatan jagaan kecemasan asas.

Bagi pertuduhan keempat dan kelima, OKS didakwa gagal mengemukakan kepada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) salinan semua rekod perubatan pesakit dan tidak mengambil langkah cukup untuk melindungi semua kakitangan profesional jagaan kesihatan dan persekitaran terhadap bahaya biologikal.

Sementara itu, pada prosiding sama, mahkamah melepas dan membebaskan OKS daripada empat pertuduhan selepas mendapati pihak pendakwaan gagal membuktikan kes prima facie.

Mengikut pertuduhan pertuduhan pertama, OKS didakwa gagal memastikan Dr Ting Teck Chin, 38, yang memberi perkhidmatan anestesia (bius) secara IV sedation ke atas Syed Alman Zain, mempunyai kelayakan anestesiologi seperti dikehendaki.

Pertuduhan kedua hingga ke empat pula, OKS masing-masing didakwa memberi perkhidmatan anestesia kepada Syed Alman Zain yang tidak tertulis dalam lesen klinik itu, membuat perluasan fungsian yang menjejaskan standard perkhidmatan disediakan dengan menyediakan perkhidmatan anestesia ke atas Syed Alman tanpa kelulusan Ketua Pengarah Kesihatan dan gagal memastikan kehendak pelabelan ubat dipatuhi.

Semua perbuatan itu didakwa dilakukan di pusat pergigian terletak di Jalan Telawi, Bangsar Baru, Brickfields, di sini, antara 6 petang dan 9.05 malam, antara 26 Mei dan 2 Jun 2016.

Tujuh pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(4), 39(2), 40(4) dan 117(2)(b)(i) Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 yang memperuntukkan hukuman denda antara RM30,000 dan RM300,000 jika sabit kesalahan.

Dua lagi pertuduhan dikemukakan mengikut Peraturan 49(7) dan 245(6) Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Hospital Swasta dan Kemudahan Jagaan Kesihatan Lain) 2006 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM10,000 atau penjara tiga bulan atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Jaizah Jaafar Sidek manakala OKS diwakili peguam P Sreekant.

Sepanjang prosiding perbicaraan kes yang bermula pada 21 Februari tahun lalu, pihak pendakwaan memanggil 13 saksi untuk memberi keterangan.

Mahkamah kemudian menetapkan 10 April ini untuk pengurusan kes bagi mendapatkan tarikh perbicaraan peringkat bela diri.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 2:30 PM