RICKIE menceritakan taktik baru memungut hutang. FOTO Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
Mohd Helmi Irwadi Mohd Nor
mohdhelmi@nstp.com.my


CETI haram atau ahlong kini menggunakan taktik baru untuk memungut hutang apabila menyimbah cat di rumah jiran, bukan kediaman peminjam bagi memalukan individu yang gagal menyelesaikan pinjaman.

Perkara itu didedahkan seorang pemberi hutang dikenali Rickie, 38, yang menyatakan ia kaedah baru sebagai serangan psikologi ke atas peminjam yang tidak membayar semula pinjaman.

Katanya, kebanyakan syarikat pinjaman wang berkenaan sebelum ini menyimbah cat di rumah peminjam, namun kaedah itu kurang berkesan menyebabkan mereka mengubah cara baru.

“Kaedah digunakan ketika ini adalah menyimbah cat pada kenderaan atau rumah jiran...jika bukan jiran, kediaman rakan berdekatan akan menjadi sasaran. Mangsa adalah individu yang tidak berhutang dengan kami, menyebabkan mereka takut dan marah.

“Jiran atau kenalan peminjam yang menjadi sasaran akan membuat laporan polis kerana bimbangkan keselamatan mereka dan keluarga.

“Sehubungan itu, keadaan di kawasan kejiranan akan menjadi kecoh dan penduduk akan menyiasat siapa sebenarnya meminjam dengan kami. Lama-kelamaan mereka akan tahu hingga menyebabkan peminjamnya berasa malu,” katanya.

Rickie berkata, disebabkan serangan psikologi itu peminjam terpaksa menyelesaikan dua perkara iaitu masalah dengan penduduk atau kejiranan dan membayar hutang.

“Keadaan ini merugikan jiran kerana kediaman mereka rosak akibat disimbah cat merah atau hitam,” katanya.

Dalam pada itu, katanya, berhubung dengan keganasan membabitkan pihaknya dengan peminjam, kebiasaannya pengutip hutang tidak bertindak sedemikian melainkan wujud provokasi.

“Apabila peminjam tidak membayar hutang, kami terlebih dulu memberi amaran supaya menyelesaikan tunggakan. Tetapi apabila individu itu melawan atau mencabar sehingga berlaku provokasi, timbul kekerasan,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 1:41 PM