ORANG ramai menyaksikan kemalangan menyebabkan dua maut di Kilometer 105 Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Masjid Tinggi, Bagan Serai, malam tadi. FOTO ihsan pembaca
Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
cnews@nstp.com.my


DUA penunggang motosikal maut manakala seorang pemandu kereta parah dalam kemalangan di Kilometer 105 Jalan Ipoh-Butterworth berhampiran Masjid Tinggi, Bagan Serai, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Kerian, Superintendan Omar Bakhtiar Yaacob berkata kejadian 9.45 malam itu membabitkan dua motosikal dan sebuah kereta.

Menurutnya, kemalangan itu mengakibatkan Abdul Wahid Shahrudin, 25, maut di lokasi kejadian manakala K Punithan, 21, meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Taiping pada 12.30 tengah malam tadi.

Katanya, seorang lagi mangsa iaitu pemandu kereta berusia 21 tahun patah kaki kanan dan luka di kepala.

“Punca sebenar kemalangan masih belum dikenal pasti kerana tiada saksi bebas yang melihat kejadian itu dan lokasi kejadian turut tidak mempunyai kamera litar tertutup (CCTV).

“Bagaimanapun, menurut pemandu terbabit, dia dalam perjalanan dari Taiping ke Bagan Serai sebelum menyedari satu objek di laluannya dan cuba mengelak namun terbabas dan merempuh tembok batu penghadang paip di kiri jalan,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Omar Bakhtiar berkata, polis masih menjalankan siasatan dan turut meminta kerjasama orang awam atau saksi yang melihat kejadian itu agar tampil menyalurkan maklumat.

Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 12:17 PM