JENAMA John antara rokok seludup popular di Malaysia.
Skuad Khas Harian Metro
am@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Permintaan tinggi dalam pasaran tempatan kerana harga ditawarkan murah menyebabkan sindiket penyeludupan rokok yang ada kaitan dengan kegiatan penyeludupan migran, gangsterism dan jenayah rentas sempadan sanggup melakukan apa saja untuk memastikan ‘perniagaan’ mereka terus beroperasi.

Kejadian pegawai atau anggota penguat kuasa diugut, diserang, rumah dibakar dan ada yang sanggup membunuh seperti dalam kejadian anggota JKDM Kelantan, Anisah Ali pada Oktober 2016 di Kelantan selepas kenderaan dinaiki dirempuh tonto sindiket rokok seludup menunjukkan sindiket sanggup bertindak kejam melakukan apa saja.

Sehingga kini, tonto yang terbabit dalam kejadian itu masih gagal dikesan sedangkan keluarga Allahyarham Anisah mengharapkan mereka yang terbabit ‘membunuh’ ibu mereka dihadapkan ke muka pengadilan.

Walaupun permintaan dan keuntungan besar menyebabkan agak sukar kegiatan penyeludupan rokok ini dibanteras secara total, yang paling membingungkan ialah rokok seludup sudah tiada stigma lagi di negara kita. Rokok John, Canyon, U2, Luffman, saat dan banyak lagi jenama berlambak di pasaran dan boleh dibeli dengan mudah.

Bagi bekas penyeludup rokok yang dikenali sebagai Ah Seng, 50-an, permintaan tinggi dan keuntungan berganda antara punca menyeludup rokok satu pekerjaan pilihan berbanding menyeludup petrol atau barang kawalan.

Katanya, setiap kotak rokok terjual, penyeludup memperoleh 50 sen sekotak manakala peniaga pula RM1 sekotak.

Dia yang pernah terbabit dalam kegiatan penyeludupan rokok selama 10 tahun berkata, ramai kini membeli rokok seludup secara karton dan bukan lagi beli sekotak-sekotak.

“Bekalan juga mudah. Banyak laluan tikus dan pihak berkuasa tak boleh jaga semua laluan. Memang ada kawalan di sempadan tapi boleh lepas juga. Kita ada cara mengelak dan tahu bila operasi akan dijalankan.

“Namun, saya tidak lagi berani meneruskan kegiatan selepas ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) beberapa tahun lalu. Jika saya buat lagi, pasti hukuman denda lebih tinggi dan penjara,” katanya yang turut terbabit mencuri kenderaan pacuan empat roda untuk dijual di Thailand.

Pengakuan Ah Seng itu tidak menghairankan kerana statistik terkini mendapati pasaran rokok tempatan kini dikuasai 60 peratus rokok seludup.

Bagi pihak berkuasa pula, penyeludupan rokok sejak beberapa tahun kebelakangan ini menjadi cabaran terbesar terutama selepas kenaikan harga rokok sah secara mendadak. Ramai perokok kini bertukar kepada rokok seludup.

Komander Pasukan Polis Marin (PPM) Bukit Aman, Datuk Abdul Rahim Abdullah berkata, membanteras penyeludup rokok adalah satu tugas yang amat mencabar dan perlu kerjasama semua sama ada pihak berkuasa atau masyarakat. Pihaknya tidak mampu menangani masalah ini secara bersendirian.

Katanya, penyeludup terbabit turut dilengkapi peralatan canggih termasuk bot pancung berkelajuan tinggi yang mampu bertindak cepat melarikan diri jika terserempak dengan pasukan keselamatan.

“Adalah dianggarkan untuk setiap consigment (perjanjian urusan dan kiriman dagangan) yang dibuat penyeludup rokok dianggarkan bernilai RM2.5 juta. Rokok seludup ini kemudian dihantar ke jeti haram atau lorong tikus di sepanjang pantai perairan negara.

“Bekalan itu diambil pula sindiket di darat dan mengangkutnya menggunakan pelbagai jenis kenderaan termasuk Toyota Vellfire.

“Apapun, dalam hal berkaitan trend rokok seludup ini, masyarakat harus ambil peduli sepanjang waktu. Segera laporkan jika ternampak kegiatan itu atau mengesyaki sesuatu mencurigakan,” katanya.

Malah, tangkapan sebagai citizen arrest boleh dilakukan dan kemudian diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Pengarah Maritim Malaysia, Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifli Abu Bakar berkata, pihaknya sudah mengenal pasti beberapa sindiket dan sedang mengesan dalang penyeludupan rokok ini secara total.

“APMM turut membuat pemeriksaan terhadap teksi air yang menjalankan pertukaran barter dengan kapal sedang bersauh. Dipercayai, teksi air antara mod pengangkutan dalam jaringan sindiket penyeludupan rokok.”

“Harus saya akui, bagi membendung penyeludupan rokok adalah sukar, apatah lagi ada yang menjadikan aktiviti itu sebagai mata pencarian khususnya mereka yang tinggal di perairan sempadan Malaysia,” katanya.

Walau apa alasan sekalipun, penyeludupan rokok adalah satu masalah negara yang serius kerana ia membabitkan keselamatan perairan dan sempadan negara. Jika kedua-dua aspek ini dapat diceroboh dengan mudah, maka di mana letaknya kedaulatan negara dalam mempertahankan negara.

Memang tidak dinafikan ada operasi dan pemantauan dijalankan setiap agensi penguatkuasaan namun ia lebih bersifat kewilayahan atau menjaga kawasan masing-masing dan amat jarang operasi dijalankan secara bersepadu. Malah, JKDM juga bersetuju dengan cadangan jika operasi bersepadu dijalankan secara bersama.

Kini pasukan penguatkuasaan terdiri daripada PPM, Maritim Malaysia, Agensi Kawalan Sempadan (AKSEM), JKDM, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Pasukan Penguatkuasaan Pemulihan Hasil Negara, Jabatan Peguam Negara (NNRET) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu bersatu padu dalam menangani masalah ketirisan hasil negara ini melalui inisiatif Pasukan Bertindak Kebangsaan (National Task Force).

Dengan kewujudan Pasukan Bertindak Kebangsaan ini, semua operasi di luar, darat, pelabuhan, lapangan terbang atau jeti dapat diselaraskan dan dibuat secara besar-besaran. Tindakan tegas pasukan ini pasti akan menggerunkan penyeludup, bukan saja penyeludup rokok malah pelbagai barangan lain yang menjadi komoditi penyeludupan.

Bak kata pepatah, hendak seribu daya, tak hendak seribu dalih. Diharap kita tidak perlu tunggu sehingga rokok seludup mencecah 90 peratus di pasaran yang mungkin dapat dicapai dalam tempoh terdekat dan ketika itu jika mahu bertindak, ia sudah dianggap terlalu lambat.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 5 April 2018 @ 11:59 AM